Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua, kanan) menunjukkan dividen yang diumumkan pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) 2022 dan Pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023 di Kementerian Pengajian Tinggi pada Rabu. - Foto Bernama.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua, kanan) menunjukkan dividen yang diumumkan pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) 2022 dan Pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023 di Kementerian Pengajian Tinggi pada Rabu. - Foto Bernama.

Dividen SSPN 2022, 3.05 peratus

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
06 Apr 2023 11:26am

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2022 adalah sebanyak 3.05 peratus.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemberian dividen itu melibatkan anggaran peruntukan RM266.17 juta yang akan memanfaatkan kira-kira 5.73 juta pendeposit akaun Simpan SSPN.

"Dividen 3.05 peratus ini bukan sahaja lebih tinggi berbanding agihan dividen sebanyak tiga peratus pada 2021.

“Malah ia merupakan kadar dividen yang kompetitif kerana lebih tinggi berbanding kadar keuntungan simpanan di akaun semasa dan simpanan tetap di sesetengah bank yang menawarkan kadar faedah keuntungan antara hanya 2.05 peratus hingga 2.75 peratus," katanya pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2022 dan Pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023 di Putrajaya, baru-baru ini.

Hadir sama ke majlis berkenaan, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal; Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Mohamad Khaled juga memberitahu, sejak diperkenalkan pada 2004 PTPTN telah mengagihkan jumlah dividen keseluruhan bernilai RM1.33 bilion.

Setakat 31 Disember tahun lalu, sebanyak 5.73 juta akaun Simpan SSPN telah dibuka melibatkan nilai deposit sebanyak RM14.24 bilion.

Beliau menambah, Simpan SSPN tahun lepas telah merekodkan nilai simpanan yang membanggakan walaupun negara berdepan dengan persekitaran ekonomi yang tidak menentu.

Artikel Berkaitan:

"Deposit Simpan SSPN yang diterima pada tahun lalu berjumlah RM3.36 bilion di mana 119.93 peratus lebih tinggi berbanding sasaran awal sebanyak RM2.8 bilion.

"Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM350.55 juta berbanding 2021 yang mencatatkan nilai simpanan sebanyak RM3.01 bilion," ujarnya.

Sementara itu, berkaitan pembukaan akaun baru pula, Mohamad Khaled memaklumkan, sebanyak 491,984 akaun telah dibuka tahun lalu berbanding sasaran sebanyak 400,000 akaun.

Beliau yang hadir pada majlis itu turut melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023 pada kadar satu peratus sebagai hadiah istimewa kepada para pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat penabungan dalam jangka masa panjang dan sebagai ganjaran tambahan selain dividen tahunan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp