No Image Caption

Dua bangunan lama SK Klias Kecil musnah terbakar

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
13 Mar 2025 02:48pm

Dua bangunan lama yang dijadikan stor penyimpanan peralatan sekolah hangus dalam kejadian kebakaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Klias Kecil, Sabah pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, sesi persekolahan sedang berjalan, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau murid yang terjejas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Muhammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.50 pagi.

No Image Caption

Katanya, seramai lapan anggotanya dan dibantu oleh lima anggota BBP Kimanis serta enam anggota BBP Kuala Penyu dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 17 kilometer dari BBP Beaufort.

"Ketika kejadian, memang ada murid di sekolah namun mereka berada di bangunan lain manakala bangunan yang terbakar itu adalah bangunan lama yang dijadikan stor.

"Kedua-dua bangunan adalah jenis tidak kekal dan musnah 100 peratus. Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dengan menggunakan air dari jentera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, setakat ini tiada mangsa yang terlibat selepas pemeriksaan dibuat di sekitar lokasi kebakaran.

"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.55 pagi selepas memastikan keadaan selamat dan tiada bahaya lain di lokasi kejadian," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp