
Isu sekolah padat, KPM akan buka 17 sekolah bagi sesi 2025
Bagi mengurangkan isu sekolah padat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuka 17 sekolah bagi sesi persekolahan 2025/2026.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pembinaan sekolah baharu itu bagi menunjukkan komitmen kementerian tersebut dalam memastikan murid dapat belajar di suasana yang kondusif.
“Kita ambil maklum dan kita beri sepenuh komitmen untuk menyelesaikan isu-isu sekolah padat ini.
“Sebab itu dalam belanjawan sebelum ini, Kerajaan Madani telah menambah (peruntukan) berkaitan pembinaan sekolah baharu,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi, Semenyih pada Isnin.
Hadir sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pemilihan lawatan kerja dilakukan di sekolah berkenaan kerana SK Taman Pelangi merupakan salah satu institusi pendidikan yang baharu dibuka bagi sesi persekolahan ini.
Selain itu, tambah Fadhlina, KPM akan melakukan penyuraian di sekolah bagi mengatasi masalah kepadatan pelajar dan kelas yang tidak kondusif.
Katanya lagi, penambahan sesi juga akan dilakukan sementara pembinaan sekolah baharu lebih kondusif untuk masa hadapan.
“Intervensi kita ada pelbagai, antara lain termasuk pembinaan kabin-kabin untuk kelas.
“Dan ini sebenarnya memerlukan komitmen ibu bapa,” katanya.