
Dua pelajar Malaysia terpilih ke Akademi Ketenteraan Amerika Syarikat
Dua anak muda Malaysia, Rakis Ruhaim Abdul Rahman dan Luthfil Haikal Haswadi terpilih untuk menyertai akademi ketenteraan berprestij di Amerika Syarikat (AS).
Kadet Rakis Ruhaim, 22, akan melanjutkan pengajian di Akademi Tentera Laut AS (USNA) di Annapolis, Maryland.
Manakala Kadet Luthfil Haikal, 20, akan menyertai Akademi Tentera Darat A.S. (West Point) di New York sebagai sebahagian daripada Kelas 2029.
Menurut Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan, pelantikan dua kadet ini mencerminkan masa depan kepimpinan yang berpotensi tinggi.
"Kadet-kadet muda ini melambangkan masa depan negara kita - pemimpin yang akan menjunjung tinggi komitmen bersama ketenteraan terhadap disiplin, khidmat dan kerjasama.
"Mereka luar biasa. Sangat pintar, petah berkata-kata dan layak dalam semua aspek. Yang paling mengagumkan ialah tekad mereka. Maka, dapat mengiktiraf mereka secara terbuka adalah sesuatu yang sangat penting.
"Kami sangat bertuah dapat melakukannya. Kami juga berterima kasih atas kehadiran ramai rakan kami dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Pertahanan dan sudah tentu ahli keluarga mereka. Saya rasa ini mencerminkan kefahaman mendalam dalam ATM tentang nilai dan impak pertukaran seperti ini."
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sijil penghargaan kepada Rakis Ruhaim dan Luthfil Haikal yang turut dihadiri Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota ATM, Mejar Jeneral Datuk Reizal Arif Ismail.
Pelantikan mereka merupakan hasil daripada proses pemilihan yang dijalankan dengan penuh teliti, melibatkan penilaian terhadap pencapaian akademik, keupayaan kepimpinan dan tahap kecergasan fizikal.
Kedua-dua mereka dijadualkan berlepas ke Amerika Syarikat dalam masa terdekat untuk memulakan latihan rasmi sebagai kadet.
Dalam pada itu, penghormatan turut diberikan kepada Pegawai Kadet Mohamad Khairel Adha Mohd Khairee yang baru menamatkan pengajian dari Akademi Tentera Udara AS (USAFA).
Menurut Kagan, kejayaan ini mencerminkan komitmen kukuh dalam Perkongsian Komprehensif AS - Malaysia, khususnya dalam bidang pertahanan dan keselamatan.
Sejak tahun 1971, seramai 40 pelajar Malaysia telah menamatkan pengajian dari akademi tentera AS.
Sementara itu, Kadet Luthfil Haikal yang merupakan graduan Kolej Tentera Darat berkata, minatnya dalam ketenteraan bermula sejak kecil walaupun tiada latar belakang keluarga dalam bidang tersebut.
Beliau menolak beberapa tawaran luar negara termasuk ke Jepun kerana tekadnya untuk menyertai West Point.
"Saya percaya, walaupun anda datang dari latar akademik cemerlang, anda tetap ada tempat dalam ketenteraan," katanya, sambil menyeru golongan muda untuk tidak takut mencabar diri demi mencapai cita-cita.
Sementara itu, Kadet Rakis Ruhaim yang pernah mengikuti latihan kadet laut di Jerman berkata, latihan di Kolej Tentera Laut Diraja Malaysia banyak membantunya dalam persiapan ke USNA.
"Saya teruja untuk memulakan pengajian dan menjalani kehidupan sebagai kadet di Amerika Syarikat. Saya mahu manfaatkan setiap peluang yang ada dan terus belajar daripada pengalaman di sana," katanya.- Astro Awani