
Duka tragedi UPSI: KPT tampil bantu mangsa dan keluarga
Negara dikejutkan dengan berita duka menyayat hati apabila sebuah bas yang membawa warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terlibat dalam satu kemalangan tragis yang telah meragut 15 nyawa.
Dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, pihaknya mengesahkan bahawa seramai 15 mangsa telah disahkan meninggal dunia, dengan 13 jenazah kini berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh bagi proses bedah siasat, manakala dua lagi sedang diuruskan di Hospital Gerik.
Mangsa-mangsa lain yang mengalami kecederaan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Gerik.
Setakat ini, pihak berkuasa sedang mengemaskini status mangsa dari semasa ke semasa bagi memaklumkan perkembangan terkini kepada keluarga serta pihak awam.
Sebagai langkah segera, UPSI telah menubuhkan sebuah bilik gerakan khas beserta talian hotline bagi menyelaraskan maklumat serta bantuan kepada keluarga mangsa.
Dalam masa sama, usaha menguruskan penginapan buat ahli keluarga yang datang dari jauh sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama Politeknik Ungku Omar dan Kolej Komuniti Gerik.

Zambry turut memaklumkan bahawa beliau sedang dalam perjalanan ke Hospital Ipoh bagi bertemu keluarga mangsa secara langsung dan memberikan sokongan moral kepada mereka yang terkesan.
“Mohon sama-sama kita doakan segala urusan mangsa dipermudahkan dan kepada semua keluarga yang terlibat, semoga diberi kekuatan dan ketabahan,” kata beliau dalam hantaran tersebut.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama pihak pengurusan UPSI akan menggerakkan apa juga bentuk bantuan yang diperlukan oleh mangsa dan keluarga mereka.
Insiden ini bukan sekadar sebuah kemalangan tetapi tragedi nasional yang menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia, khususnya dalam komuniti pendidikan tinggi.
Warga UPSI dikenali sebagai tunjang pendidik masa depan negara, dan kehilangan ini adalah satu kehilangan besar buat dunia akademik.
Sinar Bestari mengajak semua rakyat Malaysia untuk terus berdoa dan memberikan sokongan moral kepada semua mangsa dan keluarga mereka. Semoga mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman.