Fadhlina berkata, pihak JPN Johor telah menziarahi murid berkenaan yang sedang mendapatkan rawatan di hospital. - Foto: Facebook Fadhlina Sidek
Fadhlina berkata, pihak JPN Johor telah menziarahi murid berkenaan yang sedang mendapatkan rawatan di hospital. - Foto: Facebook Fadhlina Sidek

Fadhlina mahu siasatan kes buli murid di Johor disegerakan

18 Aug 2025 12:05pm

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mahu siasatan kes buli melibatkan seorang murid di Johor disegerakan dengan tindakan sewajarnya dapat diambil.

Fadhlina berkata, beliau mengambil serius kejadian berkenaan dan menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap salah laku buli di semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Ia mesti dikendalikan dengan adil dan telus berdasar kepada garis panduan yang telah ditetapkan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, ibu kepada seorang murid lelaki berusia 10 tahun mendakwa anaknya yang menghidap kanser hidung, kini menderita akibat gegaran otak selepas menjadi mangsa buli di sebuah sekolah agama Februari lepas.

Wanita itu turut kesal dengan mendakwa pelaku berusia 12 tahun tidak dikenakan tindakan sewajarnya kerana masih di bawah umur.

Sementara itu, Fadhlina berkata, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor telah menziarahi murid berkenaan yang sedang mendapatkan rawatan di hospital.

"Saya doakan semoga anak ini diberi kesembuhan segera," katanya. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp