
Fahmi nasihat pelajar Malaysia pelajari budaya kerja warga Jepun
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menasihati pelajar Malaysia di Jepun agar mempelajari budaya kerja warganegara itu yang sangat berdisiplin sebelum pulang untuk berbakti kepada negara.
Beliau berkata, pelajar Malaysia di Jepun juga perlu mencari peluang bekerja di negara tersebut bagi menimba pengalaman untuk dimanfaatkan apabila kembali berkhidmat di tanah air.
"Insya-ALLAH, sekarang kita berada di satu kedudukan yang baik termasuk dari segi ekonomi dan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
"Jadi saya harap anda semua ambil kesempatan belajar di sini, cari peluang untuk bekerja...kemudian pulang ke tanah air dan berkhidmat kepada negara," katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Diaspora Malaysia dan pelajar Malaysia di sini.
Fahmi berada di Tokyo bagi menghadiri Asia Pacific Telecommunity Ministerial Meeting (APT-MM) 2025 yang berlangsung dari 30 hingga 31 Mei yang antara lain bertujuan meningkatkan kerjasama serantau dalam bidang telekomunikasi dan teknologi maklumat.
Turut hadir, Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Jepun iaitu Anwar Udzir dan warga kedutaan.
Seramai 38 orang terdiri daripada sebelas diaspora Malaysia dan 27 pelajar pelbagai universiti sekitar Tokyo menyertai sesi ramah mesra serta makan malam itu. - Bernama