belia2
belia2

Geran Agropreneur Muda bagi belia yang baru berjinak dalam projek tani

webadmin
20 Aug 2021 07:04pm
A
A
A

Permohonan Geran Agropreneur Muda kini dibuka bagi menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi bidang pertanian negara.

Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, permohonan tersebut terbuka kepada golongan muda yang baharu menceburi atau belum pernah menjalankan projek pertanian.

Menurutnya, pemberian geran itu tertakluk kepada beberapa syarat yang akan dikemukakan kemudian, tetapi antaranya perlu menghadiri kursus teknikal seperti yang ditetapkan.

“Kementerian menerima banyak permintaan daripada golongan muda yang baru mahu menceburi bidang pertanian dan agromakanan.

“Saya berharap dengan penawaran geran ini, lebih ramai anak muda terutama mereka yang betul-betul berminat dan memenuhi syarat dapat dibantu,” katanya pada perasmian program Empowerment @Agroprenuer Muda 2021 yang diadakan secara maya.

Haslina berkata, Geran Agropreneur Muda menjadi satu pilihan penting bagi membantu anak-anak muda memulakan projek pertanian terutama ketika negara dan dunia dilanda pandemik Covid-19.

“Tahun ini sebanyak RM15 juta telah diperuntukkan dengan sasaran 750 orang agropreneur muda untuk mendapat bantuan.

“Sehingga Julai lalu, seramai 498 orang telah diluluskan permohonannya oleh MAFI dengan jumlah peruntukan sebanyak RM9.9 juta.

“Daripada jumlah tersebut, ia dijangka dapat menyumbang RM29.8 juta kepada negara melalui economic spin-off,” kata Haslina.

Jelas beliau lagi, jangkaan tersebut berdasarkan sasaran kementerian untuk melahirkan agropreneur muda berpendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan selepas menerima bantuan geran berkenaan.

Pada masa yang sama, katanya, MAFI menjangkakan agropreneur muda dapat membantu ekonomi setempat melalui konsep community-driven economy.

“Saya mengambil contoh, seorang penanam cili yang menerima bantuan geran sudah tentu akan menggaji pekerja-pekerja bagi membantunya meningkatkan pengeluaran hasil ladang.

“Begitu juga usahawan bakeri yang sudah pasti akan menggaji pekerja untuk meningkatkan pengeluaran kek atau pastri, sekali gus mencipta peluang pekerjaan melalui perniagaan yang dijalankan oleh mereka,” katanya.

Bukan itu sahaja, Haslina berkata, kesan economic multiplier juga pasti berlaku kerana penerima geran memerlukan bekalan input-input pertanian dan bahan mentah serta penambahbaikan infrastruktur.

“Jadi, faktor permintaan ekonomi ini akan membantu sektor-sektor pembekalan yang lain,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok