Insiden-insiden ini bukan sekadar mencalar imej institusi pendidikan tetapi turut meruntun nilai kemanusiaan yang seharusnya menjadi teras dalam pembinaan sahsiah pelajar. Gambar hiasan
Insiden-insiden ini bukan sekadar mencalar imej institusi pendidikan tetapi turut meruntun nilai kemanusiaan yang seharusnya menjadi teras dalam pembinaan sahsiah pelajar. Gambar hiasan

GPMS Negeri Sembilan gesa tindakan tegas bentuk ekosistem sekolah selamat & sejahtera

17 Oct 2025 03:44pm

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Sembilan menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap siri kejadian tragis melibatkan kes buli, rogol dan pembunuhan dalam kalangan pelajar yang kebelakangan ini menggemparkan rakyat Malaysia.

Insiden-insiden ini bukan sekadar mencalar imej institusi pendidikan tetapi turut meruntun nilai kemanusiaan yang seharusnya menjadi teras dalam pembinaan sahsiah pelajar.

Sekolah seharusnya menjadi rumah kedua kepada anak-anak kita, tempat di mana mereka bukan sahaja menimba ilmu tetapi juga membina akhlak, jati diri dan nilai kasih sesama insan.

Namun, apabila sekolah mula menjadi medan ketakutan dan trauma, kita perlu bertanya dengan jujur di mana silapnya ekosistem pendidikan kita?

Sampai bila kita mahu membiarkan anak-anak ini menjadi mangsa kepada kegagalan sistem yang sepatutnya melindungi mereka?

Keperluan sistemik bagi memperkukuh dasar sekolah selamat dan intervensi awal

GPMS Negeri Sembilan menegaskan bahawa pelaksanaan Dasar Sekolah Selamat perlu diperkukuh secara menyeluruh agar tidak sekadar menjadi dasar di atas kertas tetapi benar-benar diterjemahkan dalam tindakan di setiap peringkat sekolah.

Pengawasan psikososial dan sistem pemantauan terhadap tingkah laku serta kesejahteraan pelajar perlu diperkasa bagi membolehkan sebarang tanda risiko dikesan lebih awal.

Artikel Berkaitan:

Kami turut mencadangkan pemerkasaan penubuhan Pasukan Tindakan Keselamatan Pelajar di setiap daerah yang melibatkan kerjasama strategik antara pihak sekolah, PIBG, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan NGO bagi memastikan mekanisme intervensi awal dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, menyeluruh dan berkesan dalam melindungi pelajar serta memulihkan keyakinan terhadap sekolah sebagai ruang paling selamat untuk mereka berkembang.

Keluarga sebagai tembok pertama dalam membina jiwa dan nilai kemanusiaan

GPMS Negeri Sembilan menegaskan bahawa punca utama keruntuhan akhlak dalam kalangan pelajar sering bermula daripada rapuhnya institusi keluarga.

Rumah yang sepatutnya menjadi madrasah pertama gagal memainkan peranan apabila kasih sayang diganti dengan gajet, perhatian diganti dengan tekanan dan komunikasi diganti dengan kesunyian.

Ibu bapa mesti kembali menjadi benteng utama dalam membentuk jiwa anak-anak dengan nilai empati, kasih dan rasa hormat terhadap orang lain.

Pendidikan moral tidak bermula di sekolah, tetapi di rumah, di meja makan, di ruang tamu dan dalam setiap tutur kata ibu bapa yang menjadi contoh.

Justeru, pembaikan sistem pendidikan tidak akan bermakna selagi asas kekeluargaan tidak dipulihkan kerana keluarga yang utuh melahirkan pelajar dan bangsa yang berakhlak, itulah benteng sebenar negara.

Seruan hentikan reaksi, mulakan reformasi menyeluruh

Sudah tiba masanya masyarakat berhenti menjadi reaktif setiap kali tragedi melibatkan pelajar berlaku.

Kita tidak boleh terus menunggu kes seterusnya sebelum bertindak.

Apa yang diperlukan kini ialah reformasi menyeluruh yang membina sistem pendidikan dan sosial berteraskan kasih sayang, keselamatan serta nilai kemanusiaan yang sejati.

Anak-anak ini bukan sekadar angka dalam laporan berita, mereka adalah amanah dan nadi masa depan negara.

Apabila sekolah gagal mendidik dengan jiwa dan rumah gagal membesarkan dengan kasih, maka seluruh masyarakat turut bersalah kerana membiarkan generasi muda tenggelam dalam kekosongan moral.

Sudah tiba waktunya kita bangkit bukan sekadar menuding tetapi bertindak dengan hati ikhlas, sistem yang kuat dan kesedaran bahawa membina manusia jauh lebih penting daripada sekadar membina sekolah.

Maklumat penulis:

Naib Pengerusi 1, GPMS Negeri Sembilan, Muhammad Hakim Mohd Zain

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

 

 

Ringkasan AI

  • Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Sembilan menyuarakan kebimbangan terhadap kes buli, rogol, dan pembunuhan di kalangan pelajar
  • Menekankan sekolah sepatutnya menjadi tempat pembinaan akhlak dan jati diri
  • Menggesa perlunya dasar sekolah selamat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan
  • Menekankan peranan keluarga sebagai asas utama dalam pembentukan nilai dan akhlak anak-anak
  • Mendesak reformasi menyeluruh sistem pendidikan dan sosial yang berpaksikan kasih sayang dan keselamatan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp