Guru Bahasa Melayu, Inggeris paling ramai bersara awal - Fadhlina
Pelbagai faktor yang menjadi punca kenapa seseorang guru itu bersara awal.
Sebagai contoh, beban tugas yang melampau dan sistem pendidikan negara dikatakan faktor utama seseorang itu menamatkan perkhidmatan awal dalam dunia pendidikan.
Selain itu, kerja-kerja pengkeranian yang perlu dilakukan sepanjang masa, menghadap sistem mengunci masuk rekod kehadiran murid dan tugasan mengendalikan sukan, olahraga, kelab serta badan beruniform juga menjadi penyebab cikgu memilih untuk menamatkan kerjaya mereka lebih awal daripada tempoh ditetapkan.
Dalam konteks bersara awal, guru yang mengajar sesetengah subjek juga dilihat menjadi punca mengapa mereka mengakhiri pekerjaan sebagai pendidik.
Berdasarkan rekod Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepanjang 2021 dan 2022, dikatakan guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris antara yang paling ramai memohon bersara awal.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia diikuti oleh guru Matematik, Pendidikan Islam, Sains dan Sejarah dengan jumlah keseluruhan guru memohon bersara awal seramai 6,890.
“Berdasarkan rekod KPM, bilangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang memohon persaraan pilihan berdasarkan enam opsyen utama tertinggi adalah Bahasa Melayu (2,862 pegawai), Bahasa Inggeris (1,146 pegawai) dan Matematik (1,015 pegawai).
“Seterusnya, Pendidikan Islam (755 pegawai), Sains (629 pegawai) dan Sejarah (483 pegawai),” ujarnya menerusi jawapan lisan dimuat naik pada web Parlimen pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zulkifli Ismail (Jasin) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan statistik permohonan bersara pilihan dalam kalangan PPP secara perbandingan mengikut bidang kepakaran (opsyen) daripada tahun 2021 hingga 2023.
Sementara itu, bagi permohonan bersara tahun ini, Fadhlina berkata, ia masih dalam proses kelulusan dan sedang dipertimbang agensi pusat.
Persaraan pilihan dibuka untuk mereka yang berusia 50 tahun dalam sektor kerajaan yang dilantik selepas 1991.
Umur bersara wajib pula antara 55 hingga 60 tahun.