Amat mengaibkan jika orang Melayu yang menetap di Malaysia tetapi tidak boleh bercakap bahasa Melayu. Gambar kecil: Amir Rashad.
Amat mengaibkan jika orang Melayu yang menetap di Malaysia tetapi tidak boleh bercakap bahasa Melayu. Gambar kecil: Amir Rashad.

Media sosial memartabatkan bahasa Melayu

29 Dec 2023 08:00am

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan bahasa, namun menghadapi cabaran yang semakin ketara iaitu kemerosotan taraf penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda.

Bahasa Melayu, sebagai bahasa kebangsaan semakin terpinggir dalam kehidupan harian terutamanya golongan muda, lagi-lagi mereka yang menetap di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur. Fenomena itu mengejutkan dan memerlukan perhatian serius pelbagai pihak sebelum ia menjadi lebih berat dan berleluasa.

Tempoh hari, seluruh negara terkesima dengan adanya warga Malaysia yang langsung tidak berkebolehan bertutur dalam bahasa Melayu apabila ditanya soalan semasa membaharui pasportnya. Susulan itu, individu yang sama sepertinya dalam kegagalan menguasai bahasa Melayu bersuara dan turut terdedah di media sosial.

Perkara itu sangat memalukan dan membimbangkan kerana bahasa Melayu memiliki peranan penting dalam pembentukan identiti negara dan kegagalan untuk menguasai bahasa kebangsaan berpotensi mencalarkan keperibadian nusa serta bangsa.

Pelbagai tindak balas negatif dikemukakan oleh warga netizen, beberapa daripadanya berbunyi “rampas pasportnya!” dan “pindahlah ke negara lain!”, tetapi itu bukanlah sikap yang diingini atau perbuatan yang sah di sisi undang-undang.

Salah satu daripada punca utama kemerosotan itu adalah pengaruh globalisasi dan anasir luaran.

Anak-anak muda kini lebih terdedah kepada media dan hiburan luar negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama. Malah terdapat juga mereka yang lebih tertarik dengan bahasa asing seperti bahasa Korea, oleh sebab gelombang K-Pop yang kian berkembang.

Artikel Berkaitan:

Tambahan pula, penggunaan bahasa selain daripada bahasa Melayu dalam persekitaran digital dan media sosial turut menyumbang kepada kekurangan penggunaan Bahasa Melayu.

Meskipun pembelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing sangat digalakkan, bahasa kebangsaan semestinya diberi keutamaan. Kita hendaklah berbalik kepada asal-usul kita dan sedar bahawa kita berpijak di bumi Malaysia, iaitu gabungan kata ‘Malays’ dan imbuhan Latin-Yunani ‘-ia’ yang membawa maksud “bumi orang Melayu”.

Amat mengaibkan jika terdapat orang berbangsa Melayu yang menetap di Malaysia tetapi tidak boleh bercakap bahasa orang Melayu. Janganlah kita diumpamakan kacang lupakan kulit seperti sejenis kelompok yang dipalitkan dengan istilah “Bangsar bubble” yang sering disindir sebagai golongan yang tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu walaupun ramai dalam kalangan mereka berbangsa Melayu.

Pendekatan

Untuk menangani masalah ini, kita sepatutnya menyelami gaya hidup generasi muda dan melihat dunia dari lensa hidup mereka.

Sudah tentu ramai dalam kalangan mereka menggunakan apps seperti TikTok, Instagram, X (dahulu dikenali sebagai Twitter), dan lain-lain.

Oleh itu, pelbagai langkah yang menerapkan penggunaan teknologi semasa dapat diatur untuk menarik minat generasi muda untuk menggunakan bahasa Melayu secara lebih kerap dan konsisten.

Misalnya, bukan sahaja pihak-pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka mahupun institusi-institusi pengajian tinggi tempatan, bahkan sesiapa juga yang cakna juga seeloknya mempelawa pempengaruh di media sosial yang sangat mengetahui cara dan ragam generasi muda untuk menghasilkan konten atau kandungan berkenaan dengan bahasa Melayu, budaya Melayu, dan sebagainya.

Di samping itu, bagus juga jika kita menggunakan dan menggalakkan tanda pagar yang menarik seperti #BanggaBM supaya kandungan tersebut menular di medsos.

Kini terdapat sebilangan pempengaruh yang terkenal dengan kandungannya yang memberi petunjuk dan nasihat mengenai bahasa Melayu, contohnya Cikgu Zack Kirana (@zackkirana27 di TikTok), Dr Faizul (@malaylingwist di X) dan lain-lain.

Antara aneka cara untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda:

• Siri pendidikan Bahasa Melayu: Rakamkan siri pendek tentang kekayaan bahasa Melayu di Instagram dan kongsikan fakta menarik, simpulan bahasa dan peribahasa yang unik, atau sejarah perkataan dalam bahasa Melayu.

• Sayembara kreatif Bahasa Melayu: Anjurkan pertandingan video pendek, persembahan komedi, atau karya seni digital dalam bahasa Melayu di TikTok dan berikan hadiah yang menggalakkan penyertaan.

• Wawancara dalam Bahasa Melayu: Rakamkan audio siar atau podcast di Spotify dengan tokoh terkenal, penulis, atau personaliti yang menggunakan Bahasa Melayu.

• Rancangan bual-bualan Bahasa Melayu: Adakan rancangan bual-bualan atau temu ramah menggunakan fungsi Space di X dan fokus pada isu-isu semasa, hiburan, atau perkembangan terkini dalam bahasa Melayu.

• Wujudkan komuniti Bahasa Melayu: Bangunkan komuniti dalam talian yang menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu di platform seperti X, Discord, Telegram, atau WhatsApp, untuk dijadikan tempat untuk berkongsi kisah, tips belajar, atau bahan bacaan dalam bahasa Melayu.

Melalui pendekatan itu, generasi muda dapat melibatkan diri dalam proses pemartabatan bahasa Melayu dengan cara yang menyeronokkan dan bermakna di dunia media sosial yang semakin berkembang pesat.

Dengan mengambil langkah-langkah bersepadu dan melibatkan semua pihak, kita mampu menyelamatkan bahasa kebangsaan ini daripada kemungkinan kehilangan kehebatannya dalam komuniti tempatan dan antarabangsa.

Maklumat Penulis

Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa-Bahasa Malaysia dan Linguistik Terapan, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaysia (UM), Dr Amir Rashad Mustaffa

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp