Anwar ketika pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia pada Rabu. Foto: SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri
Anwar ketika pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia pada Rabu. Foto: SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

Guru & pelajar 18 tahun ke atas turut terima bantuan RM100! Terima kasih PM

23 Jul 2025 03:56pm

Sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan, kerajaan akan memberikan bantuan sebanyak RM100 secara one-off kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas, termasuklah golongan guru, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tingkatan Enam dan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang sudah mencapai usia tersebut.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung di televisyen dan pelbagai platform media sosial pada pagi Rabu.

Menurut Anwar, bantuan tersebut diberikan secara individu dan bukan berdasarkan isi rumah.

"Maknanya, sebuah isi rumah yang mempunyai suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan menerima RM400," jelas beliau.

Katanya, golongan penerima akan menerima bantuan itu secara automatik melalui MyKad dan boleh membelanjakan bantuan tersebut di lebih 4,100 premis runcit dan pasar raya di seluruh negara termasuk Mydin, Lotus’s, Econsave, 99 Speedmart serta kedai-kedai runcit terpilih bermula 31 Ogos hingga 31 Disember 2025.

Ujarnya lagi, program yang dilaksanakan di bawah inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 22 juta rakyat dewasa, melibatkan peruntukan RM2 bilion.

"Dengan tambahan ini, jumlah keseluruhan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat kepada RM15 bilion bagi tahun 2025, berbanding RM13 bilion sebelum ini,” ujar beliau.

Jelas Anwar lagi, sekiranya terdapat rakyat yang tidak membelanjakan bantuan itu menjelang hujung tahun, dana berkenaan akan diagihkan semula kepada golongan rentan tahun berikutnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengumuman tersebut turut disambut baik oleh para guru sekolah dan pensyarah IPT yang rata-rata menyatakan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan.

"Terima kasih Perdana Menteri. Sesungguhnya sumbangan ini sangat bermakna buat kami warga pendidikan. Ia bukan sahaja meringankan beban, malah menjadi tanda bahawa kerajaan menghargai setiap rakyat, termasuk guru dan pelajar." 

"Bantuan ini sangat membantu terutamanya ketika kos sara hidup semakin meningkat." 

"Dengan bantuan ini, saya boleh membeli keperluan pembelajaran tanpa perlu membebankan ibu bapa. Terima kasih kepada kerajaan." 

"Langkah ini bukti jelas bahawa kerajaan mendengar suara rakyat dan tidak meminggirkan kelompok pelajar dan guru dalam agihan bantuan." 

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp