Nik Abdullah Hanif muncul sebagai pelajar terbaik STAM 2023 di Terengganu.
Nik Abdullah Hanif muncul sebagai pelajar terbaik STAM 2023 di Terengganu.

Hafiz al-Quran raih keputusan cemerlang STAM

NURFARDLINA IZZATI MOKTAR
27 Mar 2024 01:55pm
A
A
A

Sentiasa istiqamah mengulang kaji pelajaran serta menjaga hubungan baik sesama insan antara rahsia kecemerlangan bagi seorang penghafaz 30 juzuk al-Quran untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang diumumkan pada Selasa.

Nik Abdullah Hanif Nik Mohd Akbari, 19, yang menerima sembilan Mumtaz dan satu Jayyid Jiddan itu muncul sebagai pelajar terbaik STAM 2023 di Terengganu.

Menurut Nik Abdullah Hanif, dia sering menghubungi ibunya, Mariam Jameelah Ishak, 40, setiap kali berasa hampir putus asa bagi mendapatkan kata-kata semangat dan doa.

“Tip untuk meraih kecemerlangan adalah sentiasa menjaga hubungan baik dengan keluarga, guru serta rakan-rakan.

“Malah saya sering berjumpa guru untuk bertanyakan soalan dan berbincang dengan kawan-kawan mengenai masalah dihadapi dalam pembelajaran.

“Selain itu, membaca al-Quran setiap hari juga umpama terapi buat saya setiap kali berdepan kesukaran dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman Keputusan Peperiksaan STAM di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu, pada Selasa.

Nik Abdullah Hanif bersama ibunya, Mariam Jameelah
Nik Abdullah Hanif bersama ibunya, Mariam Jameelah

Nik Abdullah Hanif juga menyatakan hasrat untuk melanjutkan pengajian di Universiti Islam Madinah di Arab Saudi dalam bidang muamalat.

Artikel Berkaitan:

Dia antara tujuh pelajar cemerlang STAM Terengganu 2023 yang diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong.

Pada tahun ini, Nilai Gred Purata Negeri Terengganu ialah 2.79 mengatasi Nilai Gred Purata Kebangsaan 3.09 dengan perbezaan nilai sebanyak 0.30 dan peningkatan nilai 9.7 peratus.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok