Fadhlina (tengah) meraikan kejayaan pelajar KISAS yang memperoleh keputusan cemerlang dalam STAM 2023.
Fadhlina (tengah) meraikan kejayaan pelajar KISAS yang memperoleh keputusan cemerlang dalam STAM 2023.

Keputusan STAM 2023 memberangsangkan

27 Mar 2024 10:52am
A
A
A

Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2023 baharu sahaja diumumkan pada Selasa.

Ia mencatatkan pencapaian memberangsangkan dengan Gred Purata Nasional (GPN) menurun kepada 3.09 berbanding 3.13 pada tahun sebelumnya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peningkatan sebanyak 0.04 itu secara tidak langsung menonjolkan potensi lepasan STAM untuk terus didukung dalam ekosistem Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Peningkatan GPN saban tahun membolehkan KPM memperluas pengambilan calon bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada lepasan STAM.

"Ini langkah KPM dalam konteks menyahut cabaran memperluas kemasukan ke IPG bukan sekadar kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi juga untuk lepasan STAM termasuk Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta matrikulasi.

"Peluasan bilangan ambilan ke IPG ini akan memberikan manfaat kepada pelajar lepasan STAM untuk sama-sama berkhidmat sebagai warga KPM selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Temu Mesra Menteri Pendidikan dengan Calon Peperiksaan STAM 2023 di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang, Selangor.

Terdahulu, seramai 4,058 calon berdaftar untuk STAM 2023 yang merangkumi 1,294 calon sekolah KPM; Sekolah Menengah Agama Negeri (1,570 orang); Sekolah Menengah Agama Rakyat (244 orang); Sekolah Menengah Swasta (33 orang) dan calon persendirian (917 orang).

Artikel Berkaitan:

INFO

Indeks GPN merujuk kepada pencapaian calon dalam semua mata pelajaran dengan julat antara satu hingga lima dengan nilai GPN yang menghampiri satu menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok