‘Hai YB, saya dah boleh baca!’
Seorang kanak-kanak lelaki berkongsi kegembiraannya dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek semasa lawatan beliau ke Nibong Tebal akibat banjir yang melanda kawasan itu.
Kanak-kanak yang terlibat dengan kelas kemiskinan multidimensi di sekolahnya itu berkongsi peningkatan diri dalam kebolehan membaca hasil program yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama syarikat produk tenusu Farm Fresh.
"Hai YB, saya dari sekolah Farm Fresh, saya dah boleh baca YB!" katanya dengan girang walaupun kawasan rumahnya dinaiki air.
Untuk makluman, antara tujuan program kerjasama KPM dan Farm Fresh itu adalah untuk mengatasi keciciran murid dan mencegah tekanan kemiskinan multidimensi khususnya dalam kalangan murid-murid.
Sementara itu, seorang warga Emas yang diziarahi Fadhlina pada tahun lepas bagi penyerahan bantuan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal menyambut beliau dengan senyuman manis.
"YB, rindunya..ingat lagi Makcik dak?" katanya selepas berpelukan erat dengan beliau.
"Makcik nak bergambar jugak dengan YB! Banjir pun banjirlah!" kata seorang lagi warga emas selepas bertemu dengan Fadlina yang datang memujuk beliau untuk berpindah ke tempat selamat.
Melalui hantaran di Facebook pada Rabu, Fadhlina menyampaikan rasa syukur kepada rakyat kerana memberikan kekuatan kepada beliau untuk memberikan yang terbaik.
“Ketika krisis dan musibah, kasih sayang jauh lebih terserlah.
“Bagaimana kita saling mengambil berat antara satu sama lain dan sentiasa mahu diingati sebagai orang yang baik serta tinggi kesantunan budi,” katanya.