sanitasi sekolah - future image
sanitasi sekolah - future image

Hampir semua sekolah di Labuan telah disanitasi menjelang pembukaan sesi persekolahan Isnin depan

webadmin
01 Oct 2021 07:15pm
A
A
A

LABUAN - Hampir semua sekolah rendah dan menengah di pulau bebas cukai di sini telah selesai disanitasi sebagai persediaan menjelang pembukaan sesi persekolahan mulai Isnin depan (4 Oktober).

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yusuf Mohamad berkata, kerja-kerja sanitasi telah dimulakan sejak seminggu lepas dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Di Wilayah Persekutuan ini, sebanyak 17 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah akan memulakan sesi persekolahan melalui kaedah penggiliran.

Antara sekolah yang disanitasi termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pantai, SMK Labuan, Sekolah Menengah (SM) Sains, SM Anthony, SM St Anne, SMK Mutiara dan SMK Lajau.

“Kerja-kerja sanitasi ini telah dimulakan di sekolah menengah sebelum beralih ke sekolah-sekolah rendah, dan kita pastikan kerja-kerja ini disiapkan sebelum sesi persekolah bermula,” katanya kepada Bernama hari ini.

Kementerian Pendidikan akan mengambil kira situasi semasa di Wilayah Persekutuan Labuan dalam menyusun kerangka pembukaan semula sekolah menjelang 4 Oktober ini.

Pada 5 September lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, memandangkan Labuan wilayah dan negeri pertama di negara ini yang beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) maka, kementerian akan mengambil kira segala pandangan yang diberi agensi berkaitan di sini dalam menyusun kerangka yang diperlukan.

Dalam pada itu, Yusuf berkata prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sesi persekolahan telah dikongsi dan diedarkan kepada guru-guru serta ibu bapa melalui ketua-ketua kampung.

Pematuhan SOP dalam bilik darjah dan kawasan sekolah selain sistem penyuraian pelajar yang teratur diberi perhatian utama sebelum sekolah di Labuan dibuka semula, Isnin ini.

Semua aspek garis panduan itu ditekankan pengurusan sekolah bagi mengekang penularan Covid-19 di sekolah apabila sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dijalankan kembali.

Menurutnya, pihak sekolah juga akan memastikan aspek kebersihan dan kemudahan pembelajaran dalam keadaan baik selepas lebih enam bulan tiada aktiviti pembelajaran secara bersemuka di sekolah. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok