2.
2.

Hari Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan RISE tingkat motivasi para pelajar

Mohd Khairi Mohamad Yusri
15 Dec 2021 09:40am
A
A
A

SHAH ALAM - Sesi pembelajaran bagi tahun 2021 di Pusat Pendidikan Alternatif Rohingya Intellectual Skills and Excellence (RISE) kelolaan Islamic Relief Malaysia telah melabuhkan tirainya, setelah selesai Majlis Graduasi dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2021, baru-baru ini.

Objektif program yang dijalankan tidak lain untuk meraikan kejayaan para pelajar dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah diri, serta membina keyakinan mereka dalam menonjolkan potensi diri melalui persembahan kreatif yang dipersembahkan.

Pengetua RISE, Bismi Syaifullah Ishak berkata, meskipun pelajar dan barisan guru-guru berdepan cabaran besar dalam menjayakan proses pembelajaran sepanjang fasa pandemik dan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, namun ujian ini berjaya diharungi dengan baik berkat usaha dan semangat tinggi yang ditunjukkan semua pihak termasuk ahli keluarga para pelajar.

BACA JUGA: “Dia SPM gred 2 sahaja, adik beradik yang lain semua straight A, anak tak boleh diharap!” Namun akhirnya bapa kesal dengan tindakannya dulu

BACA JUGA: KPM umum jadual terkini SPM, STAM dan UPBA 2021

“Program yang dijalankan hari ini juga adalah rentetan daripada dua program yang telah dilaksanakan pada minggu lalu iaitu minggu akademik dan hari keusahawanan.

“Inisiatif ini dilakukan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari menerusi aktiviti-aktiviti yang disediakan selain memberi pendedahan dan ilmu pembelajaran di luar kebiasaan mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun pelajar berdepan masalah kekurangan kemudahan digital dan jaringan internet sewaktu sesi pembelajaran atas talian, namun mereka tetap berjaya menghabiskan silibus pembelajaran dan mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan akhir tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin berkata, mereka di Islamic Relief Malaysia sentiasa berdoa agar semua pelajar RISE berjaya melakar kejayaan sekaligus mengejar cita-cita mereka sama seperti kanak-kanak lain.

“Kami juga berharap semoga dengan ilmu dan pendidikan yang telah dibekalkan ini mampu menjadikan mereka insan yang berguna, dapat membantu keluarga serta mampu berbakti semula kepada tanah air sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia, Chef Imelda, yang turut hadir dalam majlis tersebut turut memberi kata-kata semangat kepada pelajar agar terus belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita walau dalam apa jua bidang yang diminati.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok