
Hari Kantin Sinar Bestari X PTPTN usaha lahir generasi celik kewangan
Program Hari Kantin Sinar Bestari X PTPTN yang dianjurkan oleh Sinar Bestari dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersempena Karnival Siang Malam Karangkraf 2025, menjadi platform dalam usaha memupuk semangat keusahawanan dan kerjasama golongan pelajar.
Ia juga sejajar dengan komitmen PTPTN mendekati masyarakat demi melahirkan generasi celik kewangan.
Pengurus Besar PTPTN, Hazlina Harmin berkata, acara dengan slogan 'Kami Usahawan Cilik, Bijak Menabung bersama PTPTN' itu berjaya menghimpunkan penyertaan ramai pelajar termasuk dalam kategori berkeperluan khas, selain guru-guru pembimbing yang memberi sokongan.
"PTPTN sering mencari pendekatan baharu untuk mendekati masyarakat dan terbukti, program ini adalah komitmen kami bersama komuniti, pelajar sekolah serta guru-guru.
"PTPTN dan Sinar Bestari ingin menerapkan pendidikan pengurusan perniagaan kepada pelajar sekali gus menambah pendapatan kepada sekolah," katanya ketika berucap sempena majlis perasmian program tersebut pada Jumaat.
Hadir sama Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Selangor, Rohaida Deris; Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli; Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin dan Ketua Jabatan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin.

Menerusi acara yang berlangsung selama dua hari, bermula jam 8.30 pagi hingga 7 petang itu, turut dianjurkan Pertandingan Gerai Paling Kreatif, Gerai Paling Meriah dan Gerai Paling Untung.
Dalam pada itu, Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Shah Alam, Wan Sri Akmal Wan Daud berkata, peluang membawa empat pelajar berkeperluan khas untuk turut serta dalam Hari Kantin amat bermakna dalam membantu mereka mengasah bakat keusahawanan dan kemahiran berkomunikasi.
Katanya, persiapan dalam tempoh dua minggu dibuat sebagai usaha strategik untuk membawa produk yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar untuk dijual.
"Kami membawa murid berkeperluan khas dan memberi peluang kepada mereka untuk tingkatkan kemahiran sosial kerana ia amat penting dalam kehidupan mereka, berbeza dengan pelajar normal lain,” katanya.
Sementara itu, Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Medan, Kuala Langat, Khariati Mohammad Akhiyar berkata, banyak penerapan nilai yang diperoleh pelajar termasuk memupuk keberanian dan keyakinan diri untuk tampil berdepan orang awam.
"Penganjuran ini satu usaha yang baik kerana ia boleh membimbing dan melatih murid-murid yang asasnya mungkin di peringkat sekolah sahaja, tapi bila keluar dia terdedah kepada orang ramai,” katanya.
Perkara tersebut diakui muridnya, Muhammad Ehsan Helmi Reza, 12, yang menyifatkan penyertaannya dalam program jualan itu sebagai satu bentuk cabaran menimba ilmu keusahawanan.
"Ini pengalaman pertama saya sertai jualan di luar sekolah dan agak mencabar. Saya seronok kerana saya dapat belajar banyak perkara termasuk kerjasama dengan rakan lain,” katanya.

PTPTN perkukuh budaya menabung
Sementara itu, Pengurus Cawangan, Pejabat PTPTN Negeri Selangor, Farrah Suhaily Safi an berkata, kesedaran kewangan dalam kalangan masyarakat kian meningkat hasil usaha PTPTN yang giat menganjurkan program literasi kewangan serta kempen kesedaran menabung.
"PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara berperanan mendidik masyarakat mengenai kepentingan perancangan kewangan.
"Hasrat kami adalah membantu masyarakat Malaysia membuat perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan seawal usia anak-anak sekali gus dapat melahirkan graduan tanpa hutang melalui Simpan SSPN," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bengkel Terrarium Hari Kantin Sinar Bestari X PTPTN 2025.
Sementara itu, Little Eden Succulents juga menaja program tersebut.
Tambah Farrah Suhaily, bagi memperkukuh amalan menabung,
PTPTN mengadakan pelbagai inisiatif termasuk Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 yang berlangsung dari 1 Januari hingga 31 Disember 2025.

Ujarnya, kempen ini menawarkan hadiah wang tunai lebih RM1.5 juta untuk 550 pemenang, dengan pendeposit yang menggunakan aplikasi myPTPTN menikmati peluang cabutan berganda.
Beliau berkata, Simpan SSPN merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai manfaat dan kelebihan.
Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.
"Pembukaan akaun dan penambahan deposit boleh dilakukan dengan mudah melalui aplikasi myPTPTN. Pendidikan ialah kunci melahirkan modal insan berkualiti dan pemacu pembangunan negara. Ibu bapa perlu mula merancang kewangan hari ini agar masa depan pendidikan anak-anak terjamin,” katanya.

Sementara itu, PTPTN turut mengumumkan SK Abdul Samad sebagai juara Gerai Paling Kreatif, diikuti SMK Selayang Baru yang meraih gelaran Gerai Paling Banyak Kutipan.
SK Kampung Medan pula dinobatkan sebagai Gerai Paling Meriah dan setiap pemenang bagi kategori berkenaan menerima hadiah wang tunai RM500.
Ketua Pegawai Ekskutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin bersama Airol Fadley hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang.