‘Hentikan buli’ - Ini pesanan penting KPM
Isu buli dalam kalangan murid bagaikan tiada kesudahan.
Hampir setiap hari kita mendengar kes buli yang berlaku di sekolah bandar atau sekolah luar bandar.
Yang terbaharu, kes buli yang berlaku di sebuah sekolah menengah berasrama penuh di Pantai Timur.
Dalam kes tersebut, ibu kepada mangsa membuat pendedahan tentang apa yang berlaku terhadap anak gadisnya yang berusia 14 tahun.
Ibu mangsa mendakwa, baju sekolah anaknya digunting dan diconteng, selain rambut digunting ketika tidur serta mendakwa wujud perbuatan khianat serta budaya gengsterisme di sekolah berkenaan.
Selain daripada kejadian di atas, terdapat banyak lagi kes buli yang berlaku di negara kita sehingga menimbulkan rasa takut pelajar untuk meneruskan pembelajaran.
Ekoran kejadian buli yang nampaknya sedang bercambah itu, laman Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia berkongsi maklumat berkaitan buli, semalam.
Dengan tajuk ‘Hentikan Buli Dalam Kalangan Murid Sekolah’, perkongsian itu ternyata mendapat perhatian warga maya.
Dalam posting tersebut, KPM berkongsi mengenai definisi buli yang membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya.
Seterusnya, KPM turut berkongsi mengenai lima kategori buli yang dikenal pasti boleh berlaku di sekolah.
Kategori tersebut adalah:
- Peras ugut
Minta duit, menyembunyikan barang mangsa dan menjadi orang suruhan.
2. Memulau
Tidak dimasukkan dalam kumpulan, tidak suka murid yang ikut peraturan.
3. Fizikal
Pukul, tendang, cubit
4. Lisan
Ejek, mencarut
5. Isyarat bukan lisan
Jelir lidah, jegil mata, isyarat lucah.
Dalam posting yang sama, KPM juga mengambil langkah untuk menangani masalah kes buli dalam kalangan murid. Penerapan konsep Sekolahku SEJAHTERA memberi penekanan kepada 14 elemen berteraskan nilai murid yang diterapkan secara semula jadi dalam kehidupan harian warga sekolah khususnya murid.
Sementara itu, KPM akan menyediakan portal aduan buli sebagai usaha menambah baik pendekatan memerangi kes buli di sekolah.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ibu bapa dan guru boleh membuat laporan mengenai kes buli di sekolah menerusi tiga kaedah iaitu panggilan telefon, e-mel dan dalam sistem portal itu sendiri.
“Sekiranya ada kecemasan berkaitan dengan buli ini dan ada mesej yang hendak disampaikan secara sulit, ada platform (portal) yang jelas untuk mereka sampaikan,” katanya.
Artikel berkaitan
Pelaksanaan ‘spotcheck’ mengejut, tangani isu buli di sekolah berasrama
7 punca anak-anak jadi pembuli, ibu bapa mesti tahu
Elak buli, ini 7 teknik pertahankan diri yang wajib pelajar ketahui