Hidangan mi goreng ‘menyedihkan’, orang ramai gesa KPM naikkan bajet RMT
Baru-baru ini, tular di laman media sosial apabila seorang pengguna Twitter memuat naik gambar hidangan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di salah sebuah sekolah rendah di Pahang.
Hidangan mi goreng yang dijadikan sebagai menu RMT itu telah mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna laman media sosial kerana ia terlalu sedikit dan kelihatan ‘menyedihkan’.
Menurut pemilik hantaran di laman Twitter, Izwar Wahid, guru besar sekolah berkenaan dan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah dimaklumkan mengenai isu ini, namun situasi masih sama.
[embed][/embed]
Tambahnya, dia mengakui kenaikan harga barangan menyebabkan ramai peniaga tertekan dengan bajet yang diperuntukkan untuk RMT.
“Sepatutnya Kementerian Pendidikan (KPM) sudah boleh naikkan bajet RMT supaya pengusaha boleh sediakan menu seperti mana yang disyaratkan,” katanya menerusi hantaran di laman Twitter.
Dalam pada itu, rata-rata pengguna laman itu turut meluahkan kekesalan dan menggesa pihak KPM menaikkan kadar dan peruntukan RMT kepada RM4 berbanding RM2.50 untuk seorang murid.
Salah seorang pengguna Twitter, Fadzliaton Aris berkata, RM2.50 yang diperuntukkan pada 2015 sehingga 2017 adalah mencukupi.
“Zaman sekarang, RM2.50 tidak cukup untuk RMT yang perlu ada makanan, buah-buahan, dan air, belum termasuk lagi kos bekas makanan yang pihak kantin perlu sediakan bagi menjaga kebersihan,” ujarnya.
Artikel berkaitan
9 cara menghentikan tabiat makan berlebihan, elak obesiti
Amalan pemakanan semasa menghadapi peperiksaan, guru dan pelajar diminta lebih peka