sara hidup
sara hidup

Menu makanan dengan harga siling RM3.50 untuk pelajar IPT, KPT bantu tangani peningkatan kos sara hidup

Nor Azma  Muhamat Laila
06 Jul 2022 01:09pm
A
A
A

Kerajaan akan menawarkan menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 untuk satu hidangan menerusi program Food Basket Siswa Keluarga Malaysia sebagai inisiatif tambahan menangani kenaikan kos sara hidup dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Selain itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga memutuskan pelaksanaan moratorium bayaran sewaan selama enam bulan bermula bulan ini kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus IPT Awam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pelaksanaan moratorium itu dibuat agar tanggungan kos sewaan boleh diserap sekali gus membolehkan peniaga menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar.

"KPT sentiasa prihatin dan cakna terhadap kebajikan pelajar di IPT bagi memastikan sesi pembelajaran dan pengajaran sepanjang pengajian mereka berjalan dengan lancar.

"Kementerian juga maklum mengenai peningkatan harga barangan di negara ini turut memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus yang menjadi kegusaran utama pelajar ketika ini," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Noraini.

Tambah Noraini lagi, kementerian juga bersetuju dengan cadangan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) untuk membentuk Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia.

"Jawatankuasa yang dipengerusikan sendiri oleh saya ini diwujudkan bagi menyelaras dan melaksana dasar, memantau kawalan harga barang dan perkhidmatan serta membentuk jaringan kolaborasi dengan pihak berkepentingan secara holistik.

"Jawatankuasa ini turut disokong di peringkat institusi yang akan dipengerusikan oleh Naib Canselor, Rektor atau Pengarah bagi memperkemas pelaksanaan ke atas keputusan dasar yang dibuat di peringkat kementerian," ujarnya.

Gambar hiasan.

Dalam pada itu, KPT akan memperkasa inisiatif Food Bank Siswa dan Food@Campus di IPT dengan kerjasama pelbagai kementerian, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan badan-badan persendirian.

"Kemudahan pengangkutan pelajar dalam dan ke luar kampus akan turut ditambahbaik melalui penyediaan jadual pergerakan yang lebih kerap agar memudahkan dan menjimatkan masa perjalanan aktiviti harian pelajar.

"Pihak kementerian sentiasa berusaha dalam menjaga kebajikan mahasiswa di seluruh negara selari dengan aspirasi kerajaan hari ini yang prihatin serta bersungguh-sungguh membantu Keluarga Malaysia dalam saat yang mencabar ini," jelasnya.

Artikel berkaitan

Kos sara hidup tinggi di luar kampus, perlu berjimat. Jom kita cuba masak sendiri

Cari kerja lebih mudah, KPT sediakan platform untuk bakal graduan

KPT usaha lahir modal insan berkualiti, berkemahiran tinggi – Noraini


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok