Iktiraf jasa pendidik luar biasa, pencalonan Malaysia Teacher Prize tutup 2 Julai depan
Malaysia Teacher Prize kini kembali buat kali kedua bagi merai dan mengiktiraf jasa para pendidik yang luar biasa di negara ini.
Anugerah yang dianjurkan oleh PEMIMPIN GSL dengan sokongan YTL Foundation, Yayasan Hasanah dan Yayasan ECM Libra bakal menganugerahkan pemenang utamanya dengan hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 manakala lima finalis teratas akan menerima RM5,000 setiap seorang.
Ketua Pegawai Eksekutif PEMIMPIN GSL, Cheryl Ann Fernando berkata, penganjuran Malaysia Teacher Prize bertujuan menghargai dan mengetengahkan jasa guru di Malaysia yang bertanggungjawab membimbing generasi muda.
“Bagi tahun sebelum ini, 10 finalis teratas telah menerima pengiktirafan untuk usaha mereka dalam pelbagai bidang seperti dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), pendidikan khas dan latihan vokasional.
“Harapan pihak kami untuk tahun ini pula adalah untuk menerima lebih banyak lagi permohonan daripada para guru yang lebih beragam luas dari segi latar bidangnya,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Berkongsi secara ringkas anugerah Malaysia Teacher Prize, pihak penganjur menyasarkan untuk mencapai 10,000 guru dan menerima sekurang-kurangnya 2,000 permohonan.
“Permohonan untuk Malaysia Teacher Prize 2023 dibuka secara rasmi pada 4 April lalu hingga 2 Julai depan.
“Ia terbuka kepada semua cikgu yang sedang berkhidmat di negara ini dalam sistem persekolahan wajib yang menggunakan kurikulum kebangsaan.
“Warga pendidik yang ingin menyertai anugerah berkenaan harus mendaftarkan akaun peribadi masing-masing melalui portal Malaysia Teacher Prize terlebih dahulu,” kata kenyataan tersebut lagi.
Sementara itu, setiap calon yang berminat menyertai Malaysia Teacher Prize, mereka dibenarkan menghantar satu permohonan dan dikehendaki melengkapkan lima esei yang panjangnya antara 300 hingga 500 patah perkataan setiap satu; sama ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.
Selain itu, calon juga perlu memuat naik kandungan sokongan dalam bentuk dokumen, grafik atau video.
Kata kenyataan media itu lagi, Malaysia Teacher Prize juga menerima pencadangan guru daripada khalayak ramai menerusi portal rasmi.
Guru yang dicadangkan akan menerima e-mel jemputan untuk memulakan proses permohonan anugerah.
Individu dibenarkan mencadangkan seberapa ramai guru yang diingini.
INFO
Berikut merupakan senarai 10 finalis guru untuk Malaysia Teacher Prize 2022
1) Cikgu Anita Md Yasin dari Kolej Vokasional Keningau, Sabah.
2) Cikgu Kumaresan Muniandy dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional Merbok, Kedah.
3) Cikgu Goh Kok Ming dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Seng 2, Rantau Panjang, Perak.
4) Cikgu Tan Shi Min dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ibrahim, Pendang, Kedah.
5) Cikgu Shahril Othman dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Samudera, Seri Manjung, Perak.
6) Cikgu Anuthra Sirisena dari SMJK Chung Hwa, Tenom, Sabah (Pemenang utama).
7) Cikgu Wan Muadzam Wan Abidin dari SK Klang, Klang, Selangor.
8) Cikgu Shyielathy Arumugam dari SMK Datuk Haji Abdul Wahab, Sungai Siput, Perak.
9) Cikgu Aishah Mohamed Hamdan dari SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.
10) Cikgu Khairil Azmir Ahmad dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Perempuan Alawiyah, Kangar, Perlis.