Ini empat langkah tangani keciciran murid - KPM
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan empat langkah menangani isu keciciran pembelajaran melalui Intervensi Kurikulum Murid Tahun Satu.
Empat langkah itu adalah Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (Semakan 2017) Edisi 3, Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi, Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) mesra ibu bapa dan Penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu diambil bagi menghargai pandangan pelbagai pihak serta maklum balas pihak berkepentingan termasuklah ibu bapa yang merupakan sumber maklumat penting dalam pembangunan kurikulum.
“KPM mengambil pendekatan untuk merangka kurikulum 2024 yang memberi tumpuan kepada penguasaan literasi, numerasi dan pembentukan karakter.
“KPM juga memandang serius terhadap kegusaran yang diutarakan melibatkan aras kurikulum yang tinggi, kandungan kurikulum yang kurang sesuai dengan usia murid, pelaporan pentaksiran bilik darjah (PBD) dan ibu bapa tiada akses untuk mendapatkan laporan PBD.
“Justeru, bagi menangani semua isu ini, KPM mengambil inisiatif melaksanakan intervensi berkenaan dengan menyediakan Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 bagi mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap Satu yang akan digunakan mulai Sesi Akademik 2024/2025," katanya ketika sidang akhbar khas intervensi Kurikulum di Kementerian Pendidikan (KPM) pada Isnin.
Beliau menegaskan, penjajaran kurikulum itu adalah pengemaskinian dan penyusunan semula kandungan mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap Satu sedia ada.
"Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 itu disediakan sebagai pilihan kepada guru dalam pelaksanaan kurikulum sekolah rendah dan boleh digunakan bersama-sama Modul Bimbingan Sains dan Matematik Tahap Satu.
"Dokumen penjajaran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan menyusul," katanya.
Mengulas lanjut langkah berikutnya adalah melibatkan pengesanan literasi dan numerasi murid Tahun Satu bagi memgenal pasti keupayaan murid dalam menguasai kemahiran membaca, mengira dan menulis (3M) yang memerlukan intervensi awal/
Pengesanan ini bermula sesi akademik 2024/2025 yang akan dilaksanakan melalui PBD setelah murid mengikuti persekolahan selama tiga bulan.
“Selepas tiga bulan murid yang dikenali pasti belum menguasai 3M ini akan diasingkan untuk mengikuti kelas secara berasingan dan diberi tumpuan penuh oleh guru pakar.
“Program intervensi akan berjalan selama tiga bulan bermula Julai tahun ini,” katanya lagi.
Selain itu, pelaporan PBD mesra ibu bapa turut diperkenalkan yang menumpukan laporan tahap penguasaan PBD dipermudahkan manakala pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bagi semua mata pelajaran ditukar kepada bentuk peratus dan gred.
Ujar Fadhlina, semua pelaporan PBD itu boleh diakses ibu bapa secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pentaksrian Bersepadu.
Dalam pada itu, langkah keempat melibatkan penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 akan disebarluaskan kepada semua guru mata pelajaran Sains dan Matematik sekolah rendah melalui penganjuran bengkel dan latihan.