Hui Ling ketika lawatan kerja ke beberapa buah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan pada Selasa.
Hui Ling ketika lawatan kerja ke beberapa buah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan pada Selasa.

Ini yang akan dilakukan KPM kepada sekolah jika IPU melebihi 101

ROSHLAWATY MD RAIEH
19 Apr 2023 04:00pm
A
A
A

Sekolah perlu membatalkan semua aktiviti luar bilik darjah sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 101.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ling, tindakan itu adalah prosedur operasi standard (SOP) sedia ada Kementerian Pendidikan (KPM) dan surat pekeliling turut dikeluarkan di setiap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tindakan lanjut.

"Bacaan IPU 101 ke atas adalah tidak sihat, jadi jika ia berlaku, sebarang aktiviti di luar bilik darjah tidak dibenarkan.

“Manakala sekiranya bacaan IPU meningkat hingga 200 ke atas, KPM akan mengarahkan sekolah ditutup.

"Pada masa sekarang, semua pelajar dinasihatkan memakai pelitup muka, kerap minum air dan mengurangkan aktiviti ketika cuaca panas," katanya selepas melakukan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (SJKC) Kampung Baru Rahang, Seremban, Negeri Sembilan pada Selasa.

IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara yang baik, 51 ke 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 ke 300 (sangat tidak sihat) serta 300 dan ke atas (berbahaya).

Selain SJKC Kampung Baru Rahang, Hui Ying turut melawat dua lagi sekolah iaitu SJK Tamil (SJKT) Lobak dan SJKC San Min bagi menyampaikan bantuan RM200,000 setiap sekolah untuk pembangunan dan penyelenggaraan peluasan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Dalam perkembangan lain, Hui Ying menjelaskan, terdapat 4,620 sekolah yang mempunyai sekurang-kurangnya satu kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU), sama ada susur landai, susur tangan, tandas OKU dan parkir OKU.

Artikel Berkaitan:

"KPM sedang meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai bagi pemantauan secara berkesan serta berterusan.

“Semua ini dilakukan demi memastikan sekolah-sekolah dilengkapi kemudahan dan infrastruktur bersesuaian untuk murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) selaras piawaian ditetapkan,” ujarnya.

Hui Ying menambah, KPM turut menyediakan laluan khas kepada calon MBPK yang mengikuti pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam pelbagai bidang pengkhususan untuk keperluan di sekolah rendah.

"Calon MBPK yang ingin memohon hendaklah sihat tubuh badan, boleh mengurus diri sendiri, aktif dalam kegiatan kokurikulum dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelas beliau.

Seramai 62 graduan dalam bidang Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran akan menamatkan pengajian di IPG pada Mei ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok