Inisiatif PIBG SK Setia Alam sumbang kelengkapan sekolah terpakai
Peka dan prihatin terhadap murid kurang berkemampuan mendorong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Setia Alam, Shah Alam, Selangor menyumbang kelengkapan persekolahan terpakai kepada murid memerlukan.
Yang Dipertua PIBG sekolah tersebut, Zairul Ermady Mohd Shahali berkata program itu bermatlamat membantu ibu bapa dan penjaga khususnya mereka yang kurang berkemampuan.
Tambah beliau, pendekatan itu membolehkan ibu bapa membuat kebajikan dengan memberikan kelengkapan persekolahan yang masih baik dan bersih selain dapat elakkan pembaziran.
“Usaha ini merupakan antara aktiviti tahunan pihak PIBG SK Setia Alam dan sekolah sejak beberapa tahun lalu, biasa ia dilaksanakan sebelum awal tahun (pembukaan sekolah) namun atas permintaan ibu bapa kita buat juga cuma lewat sedikit atas kekangan pandemik Covid-19.
“Tiada nama khusus diberikan tetapi ia rentetan dari projek kebajikan ‘Gerobok Rezeki’ yang kita buat sebelum ini yang menumpukan sumbangan kelengkapan asas kepada anak yatim dan golongan asnaf di sekolah ini,” katanya ketika dihubungi GPS Bestari.
Berkongsi lanjut, Zairul Ermady menjelaskan lebih 200 kelengkapan pakaian sekolah yang masih elok dan baik berjaya dikumpulkan pada tahun ini antaranya baju, seluar, kain, tudung, kasut, tali leher, beg serta alat tulis.
Menurut beliau lagi, ibu bapa hanya perlu meletakkan kelengkapan disumbangkan di kotak yang telah disediakan di pondok pengawal sekolah.
“Sumbangan diterima ini mungkin disebabkan hanya beberapa bulan sahaja murid ke sekolah pada tahun lalu jadi banyak pakaian yang ibu bapa lihat masih elok serta boleh digunakan lagi.
“Program ini telah bermula Isnin lalu, ibu bapa dan penjaga boleh hadir mengambil pakaian ini di ruang lobi Pra Sekolah dengan dipantau pengawal keselamatan serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” jelasnya.
Zairul Ermady berkata besar harapannya agar usaha murni berkenaan dapat diteruskan pada masa hadapan khususnya dalam membantu keluarga murid memerlukan selain menerapkan amalan berkongsi rezeki.
“Kami ibarat satu keluarga besar yang saling berkongsi rezeki tanpa mengira latar belakang keluarga, semua murid sekolah ini berhak mengikuti sesi pembelajaran dengan baik dan sempurna seterusnya untuk membentuk mereka menjadi generasi cemerlang dalam apa jua aspek, baik akademik mahupun sahsiah,” katanya.