ipt6
ipt6

IPT tubuh kelab sukarelawan, pupuk semangat dan budaya kesukarelawanan dalam kalangan pelajar

Nor Azma  Muhamat Laila
11 Jan 2022 12:28pm
A
A
A

Mahasiswa merupakan golongan berpendidikan tinggi yang mampu menjadi contoh terbaik kepada masyarakat dan salah satu caranya ialah melalui program kesukarelawanan yang diadakan di dalam atau luar kampus.

Bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri baru-baru ini turut menyaksikan ramai sukarelawan yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) turun padang membantu mangsa banjir.

Ada yang menyumbang tenaga dalam membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir dan ada juga yang menggerakkan projek sumbangan dana serta barangan keperluan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga terjejas.

Sehubungan itu, minggu ini GPSBestari berkongsi beberapa universiti awam (UA) di negara ini yang giat menjalankan pelbagai program kesukarelawanan menerusi persatuan, kelab atau sekretariat sukarelawan universiti masing-masing.

Salah satunya ialah Persatuan Briged Sukarelawan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang turut menjalankan Misi Pasca Banjir Shah Alam-Klang baru-baru ini melibatkan lebih kurang 190 orang sukarelawan dalam kalangan mahasiswanya.

Misi bantuan banjir

Misi bantuan itu memfokuskan kepada aktiviti membersihkan rumah-rumah mangsa banjir di kawasan terjejas selama dua minggu berturut-turut.

Pegawai Kokurikulum Kanan, UiTM Shah Alam, Ku Hadzrill Jeeffry Ku Hamzah berkata, Persatuan Briged Sukarelawan UiTM ditubuhkan sejak tahun 2012 bertujuan untuk meningkatkan semangat dan budaya kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.

Ku Hadzrill Jeeffry Ku Hamzah.

“Selain itu, persatuan ini juga berperanan menanam sikap kepimpinan pelajar dalam mengendalikan program-program sukarelawan, khidmat masyarakat dan bantuan kemanusiaan.

“Persatuan Briged Sukarelawan UiTM merupakan persatuan yang berdaftar di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar yang menjalankan program berbentuk kesukarelawanan membabitkan beberapa kluster iaitu pendidikan, alam sekitar, bencana alam dan khidmat komuniti di mana persatuan ini terbuka kepada semua pelajar UiTM yang berminat," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Volunteer@Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Muhammad Najmie Aduka Mutmin turut berpendapat bahawa penubuhan kelab sukarelawan di peringkat universiti berjaya memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar melalui aktiviti yang dianjurkan.

Katanya, Kelab Volunteer@UTM yang mula ditubuhkan pada 2015 turut menggalakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa, menggilap pelbagai bakat seperti kepimpinan dan pengurusan masa untuk digunakan di masa akan datang.

“Selain menganjurkan Misi Banjir Shah Alam dan Temerloh pada penghujung Disember 2021 dan awal Januari lalu, kami turut terlibat dalam banyak lagi program kesukarelawanan termasuklah Volunteer Leadership Development Programme (VLDP 2021) di bawah Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM).

Muhammad Najmie Aduka Mutmin.

 

“Sebanyak 18 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan satu IPTS menyertai program ini untuk belajar menguruskan program di mana setiap universiti telah diberi dana sebanyak RM 2,500 untuk menjalankan program yang sudah dibentangkan kepada YSS dan juga MASKUM,” ujarnya.

Pupuk semangat kesukarelawanan

Dalam pada itu, Universiti Malaya (UM) menggerakkan persatuan sukarelawan menerusi Sekretariat Sukarelawan UM (SEKRUM) yang telah ditubuhkan pada 10 November 2012 dan masih manjadi antara organisasi yang paling aktif di universiti berkenaan.

Yang Dipertua SEKRUM Sesi 2021/2022, Nur Aini Sofiyya Zaini berkata, objektif penubuhan SEKRUM ialah untuk membentuk jati diri pelajar secara holistik menerusi penglibatan dalam aktiviti kesukarelawanan di peringkat universiti, kebangsaan dan juga antarabangsa.

“Program yang paling terkini dianjurkan oleh SEKRUM ialah misi pasca banjir ke Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor yang melibatkan 70 orang sukarelawan.

Nur Aini Sofiyya Zaini.

“Selain itu, wakil SEKRUM juga sedang menguruskan sebuah syarikat keusahawanan sosial yang memfokuskan kepada jualan biskut bagi membantu menjana pendapatan bagi rumah kebajikan di Titiwangsa,” kongsinya.

Mengulas mengenai peranan yang dimainkan kelab sukarelawan universiti dalam menanam minat pelajar terhadap aktiviti kesukarelawanan, Nur Aini Sofiyya berkata, persatuan tersebut menyediakan platform buat mahasiswa untuk berbakti kepada masyarakat.

“Selain itu, persatuan ini juga dapat mengasah aspek kepimpinan dan kemahiran insaniah pelajar melalui pengurusan program berbentuk kesukarelawanan yang dijalankan dari semasa ke semasa.

“Menerusi aktiviti yang dianjurkan pula, saya berpendapat bahawa ia berjaya menanam minat dalam diri pelajar kerana kebanyakan sukarelawan akan dapat merasai satu nilai kepuasan dalam diri apabila dapat menjadi manusia yang sentiasa memberi manfaat kepada orang sekeliling,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok