Ketika ini, lebih 400,000 guru di seluruh negara yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan integriti.
Ketika ini, lebih 400,000 guru di seluruh negara yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan integriti.

Isu MC: Dakwaan tidak bertanggungjawab, cetus persepsi negatif terhadap guru

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
04 Oct 2024 03:06pm

Mengaitkan guru sebagai penjawat awam paling ramai memalsukan sijil cuti sakit (MC) adalah dakwan yang tidak bertanggungjawab," demikian maklum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan media pada Jumaat.

Dalam masa sama, ia turut memberi persepsi negatif terhadap profesion keguruan.

Kementerian itu menjelaskan, ketika ini terdapat lebih 400,000 guru di seluruh negara yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan integriti.

"Isu ini tidak sepatutnya berbangkit. Tatakelola penjawat awam sentiasa diberi perhatian bagi memastikan prestasi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat.

"Kementerian juga mempunyai peraturan yang jelas bagi menangani isu tatatertib penjawat awam.

"Pemantauan dilaksanakan secara berterusan di setiap peringkat dan penjawat awam yang terlibat dalam sebarang salah laku akan dikenakan tindakan,” ujarnya.

Sementara itu, KPM berkata, kerajaan Madani begitu menghargai peranan penting guru-guru dalam membangunkan negara.

Ia dapat dilihat menerusi kecaknaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam Ogos lalu sebagai penghargaan kepada sumbangan guru.

Pada masa sama, KPM juga tidak ketinggalan melaksanakan pelbagai usaha untuk memelihara kesejahteraan warga pendidik termasuk menerusi tujuh langkah bagi menangani beban tugas guru.

"Kementerian tekad untuk terus memartabatkan profesion keguruan.

"Profesionalisme guru mendidik anak bangsa perlu disanjung tinggi oleh seluruh lapisan masyarakat,” ujar KPM.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp