Saraswathy berkata perpustakaan juga dapat membina disiplin membaca, meningkatkan kreativiti dan memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menanam minat menulis.
Saraswathy berkata perpustakaan juga dapat membina disiplin membaca, meningkatkan kreativiti dan memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menanam minat menulis.

Jadikan perpustakaan rumah kedua, teladan baik anak-anak - Saraswathy

02 Dec 2025 11:39pm

Perpustakaan bukan sahaja menjadi pusat ilmu, malah boleh dijadikan rumah kedua untuk keluarga membina disiplin membaca, kreativiti serta nilai positif dalam diri anak-anak, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy.

Beliau berkata, untuk itu, ibu bapa berperanan penting dalam membimbing anak-anak menjadikan perpustakaan sebagai tempat untuk membaca, berbincang dan menanam minat menulis, sekali gus mengeratkan ikatan kekeluargaan melalui aktiviti berfaedah bersama.

"Galakkan anak-anak datang ke perpustakaan secara kerap kerana ia bukan sahaja mengembangkan minda mereka tetapi juga menyatukan keluarga melalui aktiviti membaca, perbincangan dan penghayatan nilai.

"Pengalaman hadir ke perpustakaan secara fizikal memberikan kesan yang lebih mendalam kerana kanak-kanak dapat belajar sambil menghayati suasana sekeliling dan melihat rakan-rakan membaca," katanya.

Beliau berkata demikian semasa pelancaran buku Amanda Rescues The Dino Egg hasil tulisan Aayushi Yogeswaran, 9, bersempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 bagi meraikan pencapaian penulis cilik itu dalam dunia penulisan.

Saraswathy berkata, perpustakaan juga dapat membina disiplin membaca, meningkatkan kreativiti dan memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menanam minat menulis serta mengembangkan ilmu pengetahuan yang berguna pada masa hadapan.

"Setiap buku yang dibaca oleh kanak-kanak menjadi sebahagian daripada pengalaman hidup dan ilmu yang membentuk pemikiran serta personaliti mereka.

"Perpustakaan bukan sekadar tempat belajar tetapi juga ruang untuk membina hubungan keluarga yang erat dan menanam minat membaca secara konsisten," katanya.

Artikel Berkaitan:

Amanda Rescues The Dino Egg adalah buku ketiga Aayushi yang mula ditulis sejak berusia tujuh tahun dengan tujuan memberi inspirasi kepada kanak-kanak lain untuk menulis lebih banyak serta menghayati nilai keberanian, tanggungjawab dan berjiwa murni.

Buku baharu itu juga menekankan nilai-nilai penting dalam kehidupan dengan menunjukkan kanak-kanak boleh mencapai hasil yang luar biasa sekiranya diberi sokongan, motivasi dan peluang. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Perpustakaan dapat dijadikan tempat mendidik anak-anak membina disiplin membaca dan menanam nilai positif
  • Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menggalakkan anak-anak mengunjungi perpustakaan untuk mengembangkan minda
  • Mengunjungi perpustakaan mempereratkan ikatan keluarga melalui aktiviti membaca dan perbincangan
  • Pengalaman hadir ke perpustakaan secara fizikal memberi kesan mendalam pada kanak-kanak dengan belajar sambil menghayati suasana
  • Perpustakaan membantu dalam pembinaan disiplin, kreativiti, minat menulis dan pengembangan ilmu pada kanak-kanak
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp