Majlis Perasmian Penutupan Jelajah TV PSS Sinar Bestari 2024 berjalan dengan lancar di Dewan Karangkraf, baru-baru ini.
Majlis Perasmian Penutupan Jelajah TV PSS Sinar Bestari 2024 berjalan dengan lancar di Dewan Karangkraf, baru-baru ini.

Jelajah TV PSS Sinar Bestari 2024 capai objektif

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
19 Aug 2024 10:43am

Jelajah TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) Sinar Bestari akhirnya melabuhkan tirai menerusi Majlis Perasmian Penutupan 2024 bertempat di Dewan Karangkraf, Shah Alam, Selangor.

Majlis yang berlangsung selama setengah hari itu menampilkan 10 buah sekolah terdiri daripada enam sekolah menengah dan empat sekolah rendah memeriahkan acara berkonsepkan sidang media bersama wakil Sinar Harian, Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Timbalan Pengarah Kanan Kluster Dasar, Kualiti dan Penghasilan BSTP KPM, Norhayati Ab Wahab berkata, Jelajah TV PSS Sinar Bestari merupakan salah satu inisiatif bersama BSTP dalam usaha menggalakkan kemenjadian pelajar melalui pasukan TV PSS.

Norhayati
Norhayati

“Ia bertujuan meningkatkan kemahiran digital, inovasi dan komunikasi pelajar terutama sekali dalam bidang pengucapan awam, aspek kewartawanan, penulisan berita dan elemen lain sepanjang menghasilkan bahan berita.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua dengan kerjasama khas Sinar Bestari dan YBR kerana menjayakan Jelajah TV PSS Sinar Bestari ini,” katanya sewaktu ucapan perasmian Penutupan Jelajah TV PSS Sinar Bestari di Dewan Karangkraf, Rabu lalu.

Jelas Norhayati, sesuai dengan optik KPM berkaitan pendigitalan, kolaborasi seperti ini perlu diteruskan demi masa depan pelajar.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pengarah Sektor Pengintegrasian Teknologi Pendidikan BSTP KPM, Moktar Wahid berkata, menerusi sidang media itu, murid-murid TV PSS dilihat berkemampuan dan bijak dalam melontarkan soalan yang dianggap tergolong dalam kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Mokhtar
Mokhtar

Katanya, soalan-soalan yang dilontarkan itu adalah bukti bahawa kru TV PSS sentiasa bersedia, selain banyak membaca menjadikan mereka cakna dengan maklumat-maklumat baharu.

“Saya yakin kalau mereka tidak membaca dan mencari maklumat sudah pasti ketika sidang media ini mereka tidak tahu untuk bertanyakan jenis soalan yang macam mana.

“Sebagai wakil KPM saya amat bangga dengan kebolehan ditonjolkan para pelajar dan ia peluang untuk mengembangkan lagi program TV PSS ini untuk tahun berikutnya,” kata beliau.

Dalam pada itu, Pengurus Jabatan Program YBR, Muhammad Khalil Kader Mydin berkata, program itu sememangnya memberi manfaat kepada murid yang seiring dengan objektif YBR dalam menekankan pendidikan secara holistik.

Muhammad Khalil
Muhammad Khalil

“Ini adalah satu peluang yang terbaik untuk YBR menaja dan memberi peluang kepada pelajar bukan sahaja dalam akademik tetapi memfokuskan kemahiran insaniah mereka agar lebih berkembang pada masa akan datang.

“Jika ada peluang, kami (YBR) akan terus menyokong program seperti ini,” ujarnya.

Selain itu, Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin bertekad meneruskan lagi Jelajah TV PSS Sinar Bestari pada tahun depan melibatkan lebih ramai murid yang tidak berpeluang pada tahun ini.

Pihaknya kini juga sedang mengadakan perbincangan untuk menganjurkan Festival TV PSS sebagai acara kemuncak jelajah ini.

Meen Tahrin
Meen Tahrin

“Pastinya, siri Jelajah TV PSS akan ditambah baik lagi dan diteruskan untuk tahun depan dengan peserta yang berbeza dan tidak berpeluang menyertai pada tahun ini.

“Kita juga masih dalam perbincangan untuk menganjurkan Festival TV PSS dan untuk maklumat lanjut mengenai perkara ini, adik-adik dan cikgu-cikgu boleh dapatkan nanti di portal rasmi Sinar Bestari,” katanya.


Kru TV PSS sedang berbincang dengan guru pengiring bagi menyiapkan tugasan.
Kru TV PSS sedang berbincang dengan guru pengiring bagi menyiapkan tugasan.



No Image Caption

APA KATA MEREKA

1) "Tahniah kepada Sinar Bestari, kru produksi dan semua yang terlibat dalam menjayakan Jelajah TV PSS tahun ini. Tidak dilupakan terima kasih di atas jalinan kerjasama dengan BSTP, KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri yang sentiasa menyokong siri jelajah ini. Setinggi terima kasih kepada YBR sebagai rakan strategik dan semoga ilmu yang disampaikan dapat digunakan ke arah menghasilkan video berkualiti dengan mesej yang bermanfaat." - Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin

Farah
Farah

2) "Alhamdulillah selesai sudah untuk tahun ini yang merupakan peningkatan bagi tahun lepas sebab kita hanya libatkan satu negeri saja. Tetapi tahun ini, kita mendapat kerjasama dengan BSTP KPM yang membolehkan siri jelajah ke seluruh semenanjung iaitu 11 negeri melibatkan lebih 300 sekolah. Terima kasih kepada YBR di atas kesudian menaja program ini. Kita doakan tahun depan boleh adakan dengan lebih besar. Mungkin kita boleh tingkatkan lagi untuk terbang ke negeri yang belum ditakluk seperti Sabah dan Sarawak sebab kita juga dapat permintaan untuk menjalankan TV PSS Sinar Bestari di negeri-negeri itu." - Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli

Zamri
Zamri

3) "Alhamdulillah tamat juga perjalanan TV PSS Sinar Bestari selepas setengah tahun kami jalankan di hampir seluruh negara. Saya lihat ramai bakat muda yang terdiri dalam kalangan murid sekolah. Saya yakin mereka ini boleh menjadi murid yang versatil bukan sahaja dalam akademik tetapi juga kokurikulum. Saya harap ilmu yang dikongsikan ini boleh digunakan oleh para pelajar bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi alam universiti dan ketika mereka sudah bekerjaya." - Juruvideo Kreatif Sinar Harian, Muhammad Ikhwan Muhammad Azahari

4) "Saya bersyukur kerana terpilih untuk mengikuti Program Jelajah TV PSS Sinar Harian kerana memang ada berniat ingin menjadi wartawan sukan satu hari nanti. Melalui program ini, saya dapat pendedahan yang lebih mendalam tentang kewartawanan dan penyuntingan video yang membantu meningkatkan lagi kemahiran diri dalam bidang media serta komunikasi." - Pelajar SMK Alam Megah, Nur Hanis Arissa Edlley, 16

Nur Hanis
Nur Hanis

5) "Terima kasih kepada Sinar Bestari kerana menganjurkan program seperti ini. Saya dapat mendalami ilmu di luar bilik darjah. Lebih menarik lagi, dapat mendengar perkongsian daripada orang industri yang sedikit sebanyak menyuntik semangat saya untuk mengejar cita-cita menjadi wartawan." - Pelajar SMK Taman Maluri, Natalie Claudia Low Huey Woon, 14

Natalie
Natalie

6) "Melalui Program Jelajah TV PSS Sinar Harian ini, saya dapat membina keyakinan dan kemahiran berinteraksi di hadapan kamera. Saya juga dapat mempelajari dengan lebih mendalam tentang ilmu kewartawanan daripada orang industri. Terima kasih di atas segala ilmu yang dicurahkan." - Pelajar SK Putrajaya Presint 5(1), Muhammad Adam Aisy Norsalam, 12

No Image Caption



Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), KPM, Illy Nadia Barudin sebagai pengacara majlis.
Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), KPM, Illy Nadia Barudin sebagai pengacara majlis.



No Image Caption



No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp