Jelajah TV PSS Sinar Bestari Perak: Asah kreativiti penulisan, suntingan video pelajar
Jelajah TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sinar Bestari 2024 di Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh pada Khamis, memberi pengalaman baharu kepada 240 guru dan pelajar dari sekolah rendah serta menengah di Perak mengenai dunia kewartawanan.
Program yang mendapat kerjasama Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak itu disertai sebanyak 48 sekolah seluruh negeri.
Bengkel yang dikendalikan oleh Pengarah Projek Jelajah TV PSS Sinar Bestari, Meen Tahrin mendedahkan pelajar terhadap kerjaya sebagai wartawan, etika kewartawanan, pengendalian studio, penggunaan kamera, penulisan skrip, percambahan idea dan perkara-perkara lain.
Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, JPN Perak, Hasri Abu berkata, platform yang disediakan Sinar Bestari berjaya membentuk kreativiti pelajar sama ada dalam bentuk penulisan mahupun suntingan video.
"Ia merupakan satu pendekatan yang amat baik yang memberi pendedahan dan pengalaman baru yang tidak disediakan di sekolah-sekolah.
"Menerusi bengkel ini, kita dapat lihat idea asli para pelajar menyerlahkan bakat mereka dari segi wartawan penyiaran dan video berkualiti dan kreatif yang dihasilkan dalam satu kumpulan," katanya kepada pemberita.
Hadir sama Penolong Pengarah Unit Pembangunan Pusat Sumber Pendidikan, Sektor Pengintegrasian Sumber Pendidikan BSTP, KPM, Azatus Sakhia Shakir Mashkor.
Menurut beliau, pihaknya merancang untuk memperluaskan kerjasama itu ke fasa kedua kerana menerima respon positif daripada guru-guru.
"Perak mempunyai sejumlah 1,115 sekolah dan 886 daripadanya memiliki TV PSS yang aktif, manakala selebihnya masih baru dalam bidang ini.
"Kita juga mempunyai Lensa Edu Perak yang bukan sahaja melaporkan program tetapi melakukan filem pendek, dokumentari dan drama pendek dan pendekatan disediakan TV PSS sangat membantu pelajar," katanya.
Penggunaan kamera
Bagi Guru Pusat Sumber dan Media Sekolah Raja Perempuan Taayah, Norsuzila Abu Kasim berkata, Jelajah TV PSS Sinar Bestari banyak membantu pelajar mendalami kemahiran suntingan video dan gambar.
"Pertama kali sekolah kami menjadi tuan rumah dan program ini bagus membantu pelajar mendalami bidang kewartawanan daripada individu yang berpengalaman dalam media.
"Sebelum ini, pelajar hanya belajar menerusi YouTube dan hari ini, kami belajar penggunaan kamera dan cara tangkap gambar yang betul," katanya.
Menurutnya, rentetan daripada program itu, pihaknya merancang mengadakan bengkel khas untuk mendalami elemen bidang penyiaran.
Pelajar, Leen Aleya Wajeeha Imtias@Amir, 16, berkata, aktiviti dalam Jelajah TV PSS Sinar Bestari membantu dirinya untuk lebih lancar ketika berhadapan dengan kamera.
"Saya minat mempelajari selok belok bidang kewartawanan kerana dapat membantu memperlengkapkan diri saya untuk kerjaya masa hadapan.
"Selain itu, ia menambah baik kemahiran saya sebagai pendebat dan pengucapan awam," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Bernadette's Convent, Batu Gajah.