Peserta Jelajah TV PSS Sinar Bestari merakam gambar di Dewan Mercu, SMK Chukai sebaik program berakhir pada Rabu.
Peserta Jelajah TV PSS Sinar Bestari merakam gambar di Dewan Mercu, SMK Chukai sebaik program berakhir pada Rabu.

Jelajah TV PSS Sinar Bestari Terengganu: Gilap bakat wartawan cilik

NORHASPIDA YATIM
13 Jun 2024 01:41pm
A
A
A

Program Jelajah TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sinar Bestari yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, Kemaman, Terengganu menggilap bakat pelajar sekolah rendah dan menengah dalam bidang penyiaran.

Program yang diadakan bermula jam 9 pagi hingga 4.30 petang pada Rabu, mendapat kerjasama Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu dan disertai oleh 13 buah sekolah.

Antara sekolah terlibat ialah SMK Chukai, SMK Sultan Ismail, SMK Kampung Baru Kerteh, SMK Badrul Alam Shah, SMK Bukit Mentok dan SMK Geliga.

Turut serta Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai, SK Rantau Petronas, SK Sultan Ismail, SK Chukai, SK Seri Iman, SK Kemasik dan SK Cheneh Baru.

Kelompok peserta program anjuran Sinar Bestari bersama Awi (duduk, dua dari kiri).
Kelompok peserta program anjuran Sinar Bestari bersama Awi (duduk, dua dari kiri).

Timbalan Pengarah JPN Terengganu (Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD), Awi Salleh berkata, inisiatif yang diambil itu dapat menarik lebih ramai murid dan pelajar supaya lebih menonjol dalam mengetengahkan potensi diri.

"Program TV PSS yang ditubuhkan di kebanyakan sekolah sebenarnya telah melahirkan bakat baharu dalam bidang komunikasi serta berhasil menggilap bakat pelajar antaranya menjadi pengacara dalam sesebuah majlis.

"Jadi kita di peringkat jabatan amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Sinar Bestari untuk memperkasakan lagi program ini dan kita mengalu-alukan jika program Jelajah TV PSS berkenaan dapat diadakan di seluruh Terengganu melibatkan tujuh lagi daerah lain," ujarnya.

Sementara itu, Guru Penyelaras Studio TV PSS SMK Chukai, Cikgu Nurulhuda Mansor berkata, program tersebut memberi ruang kepada pelajar terutama mereka yang baru didedahkan kepada bidang suntingan dan penyiaran.

"Program memberi pendedahan kepada pelajar yang baru mendalami bidang kewartawanan misalnya bagaimana untuk menghasilkan video kreatif dan memberi impak positif kepada masyarakat.

Nurulhuda
Nurulhuda

"Jadi, kita harap program sebegini tidak terhenti setakat ini dan usaha sama lebih erat akan dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Peserta dari SK Chukai, Wan Nur Azzaliyah Wan Aminuddin, 12, berkata, dia teruja dapat menyertai program tersebut kerana banyak pengalaman dan pengetahuan baharu diperoleh.

"Banyak pengalaman baharu yang saya dapat melalui program ini antaranya lebih yakin dan percaya terhadap kebolehan diri untuk tampil ke hadapan.

"Saya juga rasa lebih yakin untuk bercakap depan kamera selepas ini," ujarnya.

Wan Nur Azzaliyah
Wan Nur Azzaliyah

Seorang lagi peserta dari SMK Chukai, Jauza Putri Kamilia Wan Ridhuan, 15 berkata, banyak ilmu baharu yang dipelajari untuk dipraktikkan.

"Saya dapat banyak pengalaman baru seperti belajar sudut rekod video, pencahayaan dalam video dan cara menggunakan skrin hijau.

"Selepas ini saya lebih yakin untuk mengendalikan program-program di sekolah," katanya.

Jauza Putri
Jauza Putri

Program Jelajah TV PSS dengan slogan #GerbangAspirasi Generasi Mahir kali ini memberi fokus untuk membina skil komunikasi pelajar terutama dalam bidang pengucapan awam.

Selain itu, ia juga melatih keyakinan ketika berhadapan kamera dan orang ramai, mencipta kandungan berkualiti dan memberi kepentingan awam dan etika kewartawanan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok