Kredit foto: 123rf
Kredit foto: 123rf

Jerebu: Berikut maksud bacaan Indeks Pencemaran Udara yang perlu anda tahu

ROSHLAWATY MD RAIEH
03 Oct 2023 04:56pm
A
A
A

Fenomena jerebu kembali melanda di beberapa kawasan di negara ini.

Difahamkan terdapat kawasan-kawasan tertentu yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di paras tidak sihat, antaranya Nilai dan Seremban, Negeri Sembilan serta Cheras, Kuala Lumpur.

Susulan jerebu berkenaan, orang ramai dinasihatkan memakai pelitup muka, payung dan topi bagi mengelakkan sebarang risiko penyakit akibat cuaca panas dan masalah jerebu.

Mereka juga disarankan tidak menjalankan aktiviti luar bangunan sekiranya IPU melebihi 100 iaitu indeks kualiti udara yang tidak sihat.

Hari ini, Sinar Bestari senaraikan lima maksud di sebalik bacaan IPU yang dikongsi laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menerusi bacaan atau nilai IPU tersebut, anda dapat mengetahui kualiti udara terkini, kesan kepada kesihatan dan langkah berjaga-jaga yang harus diperlukan.

Lima nilai IPU yang dimaksudkan itu terdiri daripada;

1) Nilai IPU: 0-50 (Baik)

Artikel Berkaitan:

Kesan kesihatan umum: Sedikit atau tiada

Nasihat kesihatan: Tiada

2) Nilai IPU: 51-100 (Sederhana)

Kesan kesihatan umum: Sesetengah bahan pencemar mungkin membimbangkan kesihatan sederhana bagi sebilangan kecil individu yang sangat sensitif terhadap pencemaran udara.

Nasihat kesihatan: Individu yang sensitif perlu mempertimbangkan bagi mengurangkan pendedahan kepada dirinya.

3) Nilai IPU: 101-200 (Tidak sihat)

Kesan kesihatan umum: Simptom kerengsaan sementara seperti kerengsaan mata, bersin atau batuk dalam beberapa kalangan penduduk yang sihat.

Nasihat kesihatan: Warga emas, kanak-kanak, menghidap sakit jantung atau penyakit pernafasan dan orang ramai harus mengurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti luar yang lasak.

4) Nilai IPU: 201-300 (Sangat tidak sihat)

Kesan kesihatan umum: Keadaan yang ketara, toleransi berkurang dan kadar kematian pramatang bagi penghidap penyakit jantung atau paru-paru. Lebih banyak simptom kerengsaan sementara dalam kalangan penduduk yang sihat.

Nasihat kesihatan: Warga emas, kanak-kanak dan penghidap penyakit jantung atau paru-paru harus berada di dalam rumah dan kurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti luar manakala penduduk pula perlu mengelakkan aktiviti luar lasak buat seketika.

5) Nilai IPU: 300 ke atas (Bahaya)

Kesan kesihatan umum: Permulaan awal penyakit tertentu selain daripada simptom dan kadar kematian pramatang yang ketara kepada individu yang terdedah serta mengurangkan toleransi senaman individu yang sihat.

Nasihat kesihatan: Warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai penyakit serta orang ramai perlu berada di dalam rumah dan mengelakkan semua aktiviti luar yang tidak diperlukan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok