no image

Jom Masuk IKN, buka peluang pelajar sambung pengajian dalam bidang seni dan kraf

Nor Azma  Muhamat Laila
07 Jul 2022 03:12pm
A
A
A

Dalam usaha memenuhi keperluan tenaga mahir untuk bidang kraf dan industri kreatif seiring dengan kehendak industri, Institut Kraf Negara (IKN) menganjurkan program Jom Masuk IKN bagi menarik lebih ramai pelajar menyambung pengajian di institut itu.

Pengarah Seksyen Akademik dan Kemahiran Kraf IKN, So’hibul Azri Ahmad berkata, program itu diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat untuk membuat permohonan menyambung pengajian ke IKN bagi sesi Ogos 2022.

“Permohonan membabitkan semua peringkat pengajian iaitu diploma, sijil dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) ini dibuka sehingga 31 Julai ini yang boleh dibuat secara dalam talian menerusi www.ikn.gov.my, atau datang sendiri ke IKN.

“Terdapat enam bidang pengajian yang ditawarkan di IKN yang boleh dipilih oleh pelajar iaitu Seni Kraf Batik, Tenunan, Kayu, Logam, Seramik dan Rotan,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari, semalam.

Syarat kelayakan masuk untuk program diploma ialah pelajar perlu memenuhi syarat am institut, lulus SPM atau setara dengan sekurang-kurangnya mendapat tiga kredit dalam mana-mana mata pelajaran atau memiliki Sijil Seni Kraf dari IKN atau SKM Tahap Tiga dalam bidang berkaitan dengan kredit satu subjek di peringkat SPM atau setara.

Bagi program sijil pula, pelajar perlu memenuhi syarat am institut, lulus SPM atau setara dengan sekurang-kurangnya mendapat satu kredit dalam mana-mana mata pelajaran atau SKM Tahap Dua dalam bidang berkaitan dan lulus SPM atau setara.

Calon untuk program diploma dan sijil juga perlu lulus temu duga dan ujian lukisan manakala bagi peringkat SKM, pemohon perlu mampu bertutur dan menulis dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris atau mempunyai SKM tahap yang lebih rendah untuk mengikuti pengajian ke peringkat SKM yang lebih dalam kursus yang sama.

Tambah So’hibul Azri lagi, IKN menawarkan pengajian yang terkini dan sejajar dengan perkembangan revolusi industri 4.0 (IR4.0) menggunakan konsep ‘blended learning’ iaitu merangkumi pengajaran dan pembelajaran dalam talian dan penggunaan teknologi maklumat.

“Blended learning ini merupakan langkah awal pendedahan dan persediaan kepada pelajar-pelajar IKN untuk memaksimumkan penggunaan komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) dalam pembelajaran, penghasilan rekaan, pemasaran dan rangkaian perniagaan.

“Sejak dibuka pada 2001, IKN sudah melahirkan 2,810 graduan yang mana 83 peratus daripadanya berjaya menjadi usahawan kraf, bekerja di sektor kreatif dan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Baru-baru ini juga, graduan Seni Kraf Logam IKN pada 2008, Mohamed Khairul Fikrie Mohamed Noor yang juga pengasas syarikat DS Gems & Jewelllery, DS Group Empire dan Ammar Jewels dianugerahkan Anugerah Wira TVET Negara 2022,” jelasnya.

So’hibul Azri berkata, bagi memperkasakan modal insan pula, IKN turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) dengan beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) dan agensi termasuklah Universiti Teknologi MARA, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan British Council.

“IKN turut mewujudkan Pusat Kecemerlangan bagi meningkatkan kemahiran teknikal dan industri, sebagai platform pengembangan dan pemantapan ilmu seterusnya menilai tahap kemahiran dan kreativiti melalui penganjuran pertandingan, anugerah kreatif dan pertandingan reka bentuk,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Seni kraf kayu kekal relevan, miliki prospek kerjaya cerah dan peluang jana pendapatan

Kampus satelit bantu belia dalami kemahiran kraf

Pusat Kecemerlangan Kraf terbukti mampu tingkatkan kebolehpasaran graduan IKN


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok