Fadhlina
Fadhlina

JPN Sabah diminta guna peruntukan yang disalurkan bagi tampung kos penyertaan pasukan bola sepak dalam MSSM – Fadhlina Sidek

AZLEENDA SAHALUDIN
18 Aug 2023 03:24pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) cakna akan isu yang tular di media sosial pada Khamis berhubung penyertaan pasukan bola sepak negeri Sabah dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2023 yang bakal berlangsung di Johor Bahru pada 20 hingga 30 Ogos ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM telah meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah untuk menggunakan peruntukan yang telah disalurkan bagi menampung kos penyertaan pasukan tersebut dalam kejohanan berkenaan.

“Bagi menjamin kemenjadian murid yang menyeluruh termasuk dalam sukan, KPM telah menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk penganjuran sukan dan aktiviti kokurikulum di setiap peringkat.

“Peruntukan juga diberikan kepada setiap JPN bagi memastikan aktiviti sukan dan kokurikulum dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Bagi isu yang melibatkan pasukan bola sepak Sabah, KPM telah meminta JPN Sabah untuk menggunakan peruntukan sedia ada bagi menampung kos penyertaan pasukan tersebut dalam kejohanan MSSM 2023,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Fadhlina, KPM juga sentiasa berusaha untuk memastikan penglibatan secara menyeluruh semua murid di institusi pendidikan bawah KPM dalam sukan dan kegiatan kokurikulum yang dapat menggilap bakat dan membentuk kemahiran insaniah.

Sebelum ini, dilaporkan pasukan bola sepak bawah 18 dan 15 tahun di Sabah tidak dapat menyertai MSSM disebabkan faktor kewangan.

Difahamkan, masalah terbabit berpunca daripada kekangan kewangan JPN negeri itu yang melibatkan kos penerbangan ke Johor Bahru, kos makan minum dan kos pengangkutan dianggarkan dalam RM30,000 hingga RM40,000.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok