Tangkap layar hantaran dimuat naik melalui Instagram bapa murid berkenaan beberapa hari lepas.
Tangkap layar hantaran dimuat naik melalui Instagram bapa murid berkenaan beberapa hari lepas.

JPNT nafi kes buli, sahkan insiden tular sekadar salah faham

16 Jun 2025 10:20pm

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengesahkan bahawa insiden yang tular di sebuah sekolah di negeri ini tidak melibatkan kes buli sebagaimana didakwa di media sosial, sebaliknya berpunca daripada salah faham.

JPNT dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian berkenaan berlaku akibat salah faham antara dua murid dan tidak melibatkan unsur buli.

Menurut kenyataan itu, pengesahan diperoleh daripada Pegawai Perhubungan Sekolah, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Siasatan berhubung kes itu dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Buli dan Salah Laku.

"Pihak sekolah juga telah melawat murid yang terlibat semasa mendapatkan rawatan di hospital dan sesi pemuafakatan antara ibu bapa kedua-dua murid sedang diatur serta akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya.

JPNT turut memberi jaminan bahawa isu terbabit akan diselesaikan secara harmoni dan berhemah demi kesejahteraan semua pihak termasuk murid, ibu bapa serta pihak sekolah.

"JPNT juga tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk buli atau salah laku lain dan akan mengambil tindakan tegas demi menjamin persekitaran sekolah yang selamat,” katanya lagi.

Pada Jumaat lalu, tular satu hantaran di Instagram oleh bapa kepada seorang murid perempuan yang mendakwa anaknya mengalami kecederaan akibat dipukul oleh seorang murid lelaki sehingga terpaksa dirawat di hospital.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, hantaran berkenaan telah meraih lebih 15,000 tanda suka dan ratusan komen, selain turut dikongsi semula di beberapa platform media sosial lain sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

WARTAWAN: NORHASPIDA YATIM

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp