
2 pelajar dinobat Tokoh SPM 2024! 'Perjuangan ini tidak mudah...'
Membaca surah al-Waqi’ah dan al-Mulk setiap hari serta memberikan tumpuan sepenuhnya ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung, menjadi antara rahsia kejayaan dua pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor.
Haikal Hakimi Norafendi (aliran agama Sains Tulen) dan Farisha Hana Mohamad Hanif (aliran kemanusiaan) yang diumum penerima Anugerah Tokoh SPM 2024 dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sesi 2024/2025 pada Sabtu berjaya membuktikan bahawa keseimbangan antara usaha duniawi dan pengisian rohani mampu menjadi pemangkin kecemerlangan akademik.
Haikal Hakimi ketika ditemu bual Sinar Bestari meluahkan rasa terharu dan syukur atas pengiktirafan tersebut yang dianggap sebagai kemuncak kepada segala usaha gigih dan pengorbanan sepanjang tempoh menduduki SPM.
"Saya sangat terkejut apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas ini. Tidak pernah saya bayangkan akan dipilih sebagai Tokoh SPM 2024.
"Terima kasih kepada semua pihak terutamanya ibu bapa, guru dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan.
"Sesungguhnya perjuangan dalam meraih keputusan 10A (5A+, 4A-, 1A) dan 1B+ bukan mudah.

"Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Tidak hanya dari segi masa dan tenaga, malah emosi dan kesungguhan untuk kekal fokus sangat mencabar. Namun, saya percaya usaha yang disulami dengan doa dan tawakal pasti akan membuahkan hasil," ujarnya yang bercita-cita menjadi seorang doktor.
Sementara itu, Farisha Hana yang memperoleh 9A (3A+ dan 6A-) dalam SPM 2024 berkata, kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.
"Saya pernah hampir berputus asa dalam perjuangan mengejar keputusan cemerlang. Ada masanya saya rasa seperti gagal menyaingi rakan-rakan lain dalam pelajaran.
"Apa pun cabarannya, saya segera bangkit dan buang jauh-jauh perasaan itu. Saya tanam dalam diri bahawa kejayaan boleh dicapai jika diri terus melangkah," katanya yang berimpian bergelar seorang penganalisis data kelak.

Terdahulu, Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sesi 2024/2025 telah dirasmikan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Jalan Kebun, Datuk Sri Abdul Jalil Datuk Bohari di Dataran Seri Permata Sabtu lalu.
Penganjuran majlis ini bertujuan untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan dalam bentuk anugerah serta sijil kepada para pelajar yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun khususnya dalam bidang akademik.
Ia merupakan salah satu usaha berterusan pihak sekolah dalam meraikan kejayaan pelajar selain memupuk budaya kecemerlangan dalam kalangan warga sekolah.
Selain daripada menjadi platform apresiasi kepada pelajar cemerlang, penganjuran majlis ini juga berperanan sebagai pemangkin semangat dan motivasi kepada semua murid agar terus berusaha gigih dalam pelajaran.

Majlis bermakna itu merangkumi dua kategori utama iaitu Menengah Rendah dan Menengah Atas.
Bagi kategori Menengah Rendah, Anugerah Pencapaian Akademik Terbaik Kelas diberikan kepada pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Tiga yang telah memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).
Manakala bagi kategori Menengah Atas, anugerah diberikan kepada pelajar Tingkatan Empat dan Lima yang berjaya mencapai keputusan terbaik Pentaksiran Akhir Sesi Akademik (PASA).
Turut diberikan anugerah adalah kumpulan pelajar yang cemerlang dalam SPM 2024.