Pasukan Malaysia (tengah) telah mempamerkan prestasi luar biasa sekali gus berjaya membawa pulang sembilan pingat emas, lima perak dan dua gangsa dalam pelbagai kategori umur.
Pasukan Malaysia (tengah) telah mempamerkan prestasi luar biasa sekali gus berjaya membawa pulang sembilan pingat emas, lima perak dan dua gangsa dalam pelbagai kategori umur.

Juara dunia Memanah Berkuda IHAA 2025 milik pasukan Malaysia! 'Luar biasa pencapaian atlet kita'

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
14 Jul 2025 08:30pm

"Tahniah pasukan Malaysia di atas kejayaan muncul sebagai juara International Horseback Archery Alliance (IHAA) World Kids Championships 2025 di Indonesia.

"Anak-anak Malaysia terus membanggakan negara di pentas dunia sekali gus membuktikan bahawa potensi atlet kita boleh berkembang di pelbagai ruang." 

Kongsi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di platform Facebooknya pada Ahad, susulan kemenangan Malaysia dalam Kejohanan Dunia Kanak-Kanak Memanah Berkuda IHAA 2025 selepas menewaskan saingan utama dari Turkiye (tempat kedua) dan Indonesia (tempat ketiga) di Bogor.

Kontinjen Malaysia yang diumum juara keseluruhan telah diwakili lima atlet cilik yang berbakat besar.

Mereka ialah Abu Bakr Muhammad Akmal, Abdurrahman Ahmad Mu’az, Muhammad Muhamad Akmal, Hazzil Hamidi dan Heba Nusaybah Ahmad Mu’az.

Kesemuanya mempamerkan prestasi luar biasa sekali gus berjaya membawa pulang sembilan pingat emas, lima perak dan dua gangsa dalam pelbagai kategori umur.

Kejohanan Dunia Kanak-Kanak Memanah Berkuda IHAA 2025 yang berlangsung pada 9 hingga 13 Julai itu menghimpunkan penyertaan dari 15 buah negara.

Antara negara yang terlibat adalah Malaysia, Turkiye, Perancis, Kazakhstan, China, Vietnam, Korea Selatan, Uzbekistan, Thailand, Jepun, Taiwan, Singapura, Afrika Selatan, Mongolia dan Indonesia.

Sinar Bestari merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua atlet, jurulatih, ibu bapa dan pihak terlibat yang telah menjadikan kemenangan ini satu kenyataan.

Semoga kejayaan berkenaan menjadi pembakar semangat kepada lebih ramai anak muda untuk terus cemerlang dalam arena sukan termasuk sukan tradisional seperti memanah berkuda!

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp