Anwar ketika ditemui media pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bagi Bulan Oktober 2025 pada Rabu.
Anwar ketika ditemui media pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bagi Bulan Oktober 2025 pada Rabu.

Kabinet akan bincang langkah tegas tangani isu disiplin, pengaruh media sosial di sekolah - PM

15 Oct 2025 10:23pm

Langkah tegas bagi menangani isu disiplin dan keselamatan di sekolah termasuk pengaruh media sosial dalam kalangan pelajar akan dibincang oleh Jemaah Menteri dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beberapa insiden yang berlaku di institusi pendidikan kebelakangan ini memerlukan intervensi segera.

"Kita akan adakan perjumpaan mengenai isu ini...apabila kita lihat secara menyeluruh, hampir kesemuanya berbalik kepada telefon pintar, media sosial dan aplikasi.

"Jadi, mungkin hari ini atau esok saya akan mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri (bagi membincangkan isu ini)...harus ambil tindakan tegas...tentunya ada pelbagai reaksi (daripada orang ramai) tetapi harus ada tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan pada Rabu.

Perdana Menteri mengulas mengenai insiden tragis yang menyaksikan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut ditikam oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Selangor pada Rabu.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa ditemukan dengan beberapa kesan tikaman di badan di luar bilik darjah.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian manakala Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu telah dirampas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sejak akhir-akhir ini beberapa insiden serius membabitkan pelajar sekolah dilaporkan termasuk kes rogol membabitkan empat pelajar lelaki Tingkatan Lima dan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di Melaka, yang membawa kepada tindakan buang sekolah serta-merta.

Turut mendapat perhatian ialah peningkatan kes buli di sekolah apabila data Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan sebanyak 7,681 kes direkodkan tahun lepas berbanding 6,528 pada 2023. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Langkah tegas akan dibincang oleh Jemaah Menteri untuk menangani isu disiplin dan keselamatan di sekolah, termasuk pengaruh media sosial dalam kalangan pelajar
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keperluan intervensi segera akibat beberapa insiden di institusi pendidikan
  • Hampir semua isu disiplin dikaitkan dengan telefon pintar, media sosial, dan aplikasi
  • Insiden tragis di sebuah sekolah menengah di Selangor di mana seorang pelajar perempuan maut ditikam oleh seorang pelajar lelaki
  • Peningkatan kes buli di sekolah dengan 7,681 kes direkodkan tahun lepas berbanding 6,528 pada 2023
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp