Fadhlina (dua, kanan) berkata, kajian dilaksanakan kerana kerajaan mengambil maklum permintaan dan pandangan ibu bapa serta warga pendidik berhubung keperluan kedua-dua ujian itu.
Fadhlina (dua, kanan) berkata, kajian dilaksanakan kerana kerajaan mengambil maklum permintaan dan pandangan ibu bapa serta warga pendidik berhubung keperluan kedua-dua ujian itu.

Kajian keperluan UPSR, PT3 dijangka siap tahun ini - Fadhlina

16 Jan 2026 09:47am

Kajian mengenai keperluan memperkenalkan semula Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dijangka siap dalam tahun ini, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, kajian tersebut akan dilaksanakan segera selepas proses lantikan ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) selesai.

"MPPK ini dalam proses pelantikan. Dari segi persiapan sebagaimana arahan saya, kita sudah bersedia.

"Cuma menunggu mereka (ahli MPPK) dilantik dan kemudian kita akan selesaikan (kajian) dalam tahun ini juga, sesegera mungkin," katanya kepada pemberita selepas Program PAKAT Prasekolah dan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Sekolah Kebangsaan Presint 9 (1). 

UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 pula pada 2022, sebelum kedua-duanya digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.

Fadhlina berkata, kajian berkenaan dilaksanakan kerana kerajaan mengambil maklum permintaan dan pandangan ibu bapa serta warga pendidik berhubung keperluan kedua-dua ujian itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklum balas daripada pelbagai pihak, justeru, mendorong kerajaan untuk meneliti semula sebelum membuat keputusan penting berkaitan dasar pendidikan negara.

"Saya ingat tidak ada masalah pun untuk kita kaji kerana ada permintaan. Ini menandakan kerajaan mendengar bila ada permintaan dan kita ambil pendekatan untuk lihat dan kaji bersama sebelum kita buat keputusan penting," katanya.

Sementara itu, mengenai pengagihan BAP, Fadhlina berkata, kementerian menyasarkan proses itu diselesaikan dalam minggu ini, namun memberi sedikit kelonggaran kepada sekolah-sekolah tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Kita sebenarnya harap dapat selesaikan dalam minggu ini juga, tetapi kita bagi masa lebih sedikit kerana ada sekolah di pedalaman dan yang mempunyai ramai pelajar mungkin memerlukan masa sedikit untuk diuruskan," katanya sambil menambah bahawa pengagihan BAP di seluruh negara setakat ini berjalan lancar. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Kajian tentang keperluan memperkenalkan semula PT3 dan UPSR dijangka siap dalam tahun ini menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek
  • Proses kajian akan bermula secepat mungkin selepas pelantikan ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan
  • UPSR dan PT3 sebelumnya dimansuhkan dan diganti dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah
  • Kajian dilaksanakan kerana permintaan dan pandangan dari ibu bapa serta warga pendidik
  • Kajian bertujuan untuk meneliti semula sebelum membuat keputusan penting mengenai dasar pendidikan negara
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp