motac3
motac3

Kampus satelit bantu belia dalami kemahiran kraf

Nor Azma  Muhamat Laila
24 Mar 2022 04:08pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia mengambil inisiatif bagi membantu belia dan beliawanis mendalami ilmu dalam bidang kemahiran kraf dengan pembukaan sebuah lagi Kampus Satelit Institut Kraf Negara (IKN) di Sarawak.

Kampus ini merupakan kampus kedua yang dibuka oleh Kraftangan Malaysia menerusi IKN dengan kemasukan 13 orang pelajar pertama sejak Julai lalu.

Majlis perasmian Kampus Satelit IKN di Sarawak ini telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurut Nancy, sejak tertubuhnya IKN pada 2001, sehingga kini institut itu telah melahirkan seramai 2,810 graduan terlatih dan berkemahiran tinggi, seiring dengan matlamat untuk menyediakan tenaga kerja mahir yang kompetitif bagi permintaan dan keperluan industri kraf.

“IKN terus memperkasa peranannya dengan menubuhkan Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence), jenama ‘KrafSkills’ sebagai platform bagi meningkatkan lagi mutu seni kemahiran, kreativiti, dan latihan yang berterusan kepada belia dan beliawanis di seluruh negara.

“IKN juga telah berjaya meningkatkan kualiti latihan kemahiran kraf dengan menyesuaikan bidang pengajian dalam konteks norma baharu,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian kampus berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Saraya Arbi; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Kraftangan Malaysia, Saadiah Md Dahri; Pengarah Kanan IKN, Abdul Halim Ali dan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Azran Arip.

Tambah Nancy lagi, kaedah pengajian di IKN dilakukan secara Blended Learning dengan mengambil pendekatan pengajian secara hibrid menggunakan platform digital, sejajar dengan matlamat Sustainable Development Goals (SDG) iaitu pendidikan berkualiti.

“IKN turut berperanan dalam memastikan pendidikan yang ditawarkan sampai kepada semua pihak agar industri kraf negara terus lestari,” ujarnya.

Kampus Satelit IKN, Sarawak kini mempunyai tujuh pelajar yang sedang mengikuti pembelajaran Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Kraf Tenunan Songket dan Dastar – Tahap Tiga.

Seramai enam orang lagi pelajar pula sedang mengikuti latihan SKM Kraf Tenunan Pua di Betong, Sarawak.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok