Farah
Farah

Karnival Pendidikan Sinar Bestari ditangguhkan pada Julai 2023

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
05 May 2023 05:39pm

Sinar Karangkraf Sdn Bhd, selaku penganjur Karnival Pendidikan Sinar Bestari (KPSB) memaklumkan KPSB yang dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 12 Mei ini di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor, terpaksa ditangguhkan pada Julai 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif, Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, penangguhan KPSB itu dibuat susulan cuaca panas dan kering berpanjangan yang sedang melanda negara.

“Selepas perbincangan dan atas persetujuan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) selaku penganjur bersama, KPSB ditangguhkan serta merta dan tarikh baharu bagi karnival tersebut akan diumumkan kelak.

“Penangguhan ini adalah wajar dengan mengambil kira situasi keadaan cuaca semasa di samping keprihatinan kami terhadap kesihatan dan keselamatan bakal pengunjung KPSB yang kebanyakannya terdiri daripada para pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Kami menyahut seruan Kementerian Pendidikan (KPM) agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya yang melibatkan semua aktiviti luar sepanjang musim panas berpanjangan ketika ini,” ujar Farah dalam kenyataan media pada Jumaat.

Tambah Farah, Jawatankuasa KPSB merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas sokongan semua pihak yang telah memberi maklum balas luar biasa dalam penganjuran KPSB.

“Semoga ALLAH SWT memberi kemudahan kepada semua untuk menjayakan KPSB yang akan diadakan Julai nanti,” ujarnya.

KPSB yang merupakan karnival pendidikan terbesar di negeri Selangor mengetengahkan konsep memacu pendidikan generasi digital yang memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar dan guru mengenai pembelajaran luar bilik darjah.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ia juga menjadi platform kepada ibu bapa dan khalayak umum untuk mengenali lebih dekat dunia Pendidikan berasaskan digital hari ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp