Kelantan dan Sabah juarai Seni Generatif AI Antarabangsa 2024
Pelajar dari Kelantan dan Sabah mengharumkan nama negara apabila menunjukkan prestasi cemerlang dalam Pertandingan Seni Generatif AI Antarabangsa 2024 (Kategori Sekolah).
Pertandingan itu berlangsung sejak 6 Jun sehingga 30 Julai lalu dan pengumuman pemenang dan majlis penyampaian hadiah diadakan di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) pada Sabtu.
Acara ini adalah sebahagian daripada GEN AI International Art Exhibition and Competition 2024, turut disertakan dalam penganjuran program International MyDigital Maker Fair 2024, anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).
Pertandingan ini juga merupakan kesinambungan daripada pengajuran program Karnival Pendidikan Digital Negeri Kelantan 2024, yang berlangsung di Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, pada Julai lalu.
Pertandingan Seni Generatif AI yang berjaya menarik lebih daripada 60 penyertaan dari Malaysia, Indonesia dan Mesir itu dibuka untuk pelajar berumur antara 5 hingga 19 tahun.
Kategori sekolah menyaksikan peserta dari Malaysia iaitu murid prasekolah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh, Kota Bharu, Kelantan dinobatkan sebagai juara.
Lebih membanggakan apabila tempat kedua dan ketiga turut diraih wakil negeri Kelantan iaitu pelajar dari SK Bukit Abal, Kota Bharu dan SMK Kampong Chengal, Kota Bharu.
Menariknya, anugerah 10 karya terbaik dimenangi oleh sekolah-sekolah lain dari Sabah dan Kelantan seperti SK Sungai Nafas, Beluran; SK Bawang, Beluran; SMK Beluran, Beluran; dan beberapa peserta dari Pulau Pinang, Indonesia serta Mesir.
Pencapaian ini menonjolkan kecemerlangan Malaysia dalam seni generatif AI di pentas antarabangsa.
Kejayaan terbesar adalah dari murid prasekolah Atiya Raisa Anizam dari SK Seri Ketereh, yang memenangi tempat pertama dengan karya bertajuk Education for Tomorrow.
Karya tersebut berjaya menggabungkan elemen seni tradisional Kelantan dengan teknologi AI, yang menarik perhatian juri dengan kreativiti dan pendekatan inovatifnya.
Guru pembimbing, Adilla Mansor berkata, kejayaan Atiya begitu membanggakan warga SK Seri Ketereh sekali gus ia bukti komitmen sekolah dan murid dalam memperkasa teknologi AI dalam seni.
"Saya sungguh terkejut dan berbangga dengan pencapaian Atiya ini. Ia bukti bahawa dalam pendidikan Seni juga, kita boleh aplikasikan teknologi AI dengan begitu lancar dan berjaya.
Sementara itu, Atiya berkata, kemenangannya itu adalah titik mula buat dirinya untuk menonjolkan lebih banyak karya menggunakan teknologi AI.
“Saya sangat teruja dengan kemenangan ini. Saya berharap dapat terus berkembang dalam seni digital dan menjadi inspirasi kepada pelajar lain,” katanya.
Cerminan kreativiti pelajar
Kurator pameran merangkap Pengarah Creative Accelerator Center (CAC), Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan e(UMK), Profesor Madya Ahamad Tarmizi memuji pencapaian para pelajar ini.
“Karya yang dipamerkan mencerminkan tahap kreativiti dan kemampuan teknikal yang sangat mengagumkan.
"Kemenangan ini bukan sahaja memperlihatkan bakat pelajar dari Kelantan dan Sabah tetapi juga potensi besar seni generatif AI di Malaysia,” katanya beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Pendidik Animasi Malaysia (PPAM).
Untuk rekod, lebih daripada 200 karya dari 15 negara turut dipamerkan dalam kategori lain termasuk ahli akademik, profesional, artis, pelajar IPT dan murid sekolah.
Penilaian dilakukan oleh juri profesional dari Malaysia, Indonesia, Iraq, Thailand, Mesir, Germany, China dan Turkiye yang terdiri daripada ahli akademik, artis antarabangsa, pakar grafik serta pakar teknologi, berdasarkan inovasi, estetika dan integrasi AI dalam seni.
Hadir sama menyerikan majlis penyampaian hadiah, Naib Presiden dan Ketua Bahagian Akselerator Industri Digital, MDEC, Wan Murdani Wan Mohamad serta Ahli Lembaga Penasihat CAC UMK merangkap Penasihat Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Penasihat Persatuan Seniman Seni Digital Malaysia (ASEDAS Malaysia).
Pertandingan ini bukan sahaja mengiktiraf bakat muda, tetapi juga menyokong pembangunan ekonomi digital negara.