Kepakaran pustakawan UiTM jadi rujukan SEBARU untuk mantapkan pengurusan perpustakaan sekolah
Bagi menyediakan perkhidmatan pengurusan perpustakaan yang lebih efektif dan efisyen, Perpustakaan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru (SEBARU), Kuala Selangor, Selangor mengorak langkah ke hadapan dengan mendapatkan kerjasama kepakaran pengurusan perkhidmatan perpustakaan melalui lawatan penanda aras, baru-baru ini.
Lawatan penanda aras yang dilakukan SEBARU ke Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam memberi pengalaman cukup berharga kepada para peserta.
Menurut Penyelaras Perpustakaan SEBARU, Cikgu Rosmah Johari, lawatan tersebut dianjurkan bagi mengenali dan mempelajari pengurusan terkini teknologi perpustakaan universiti untuk dijadikan contoh dalam menguruskan perpustakaan sekolah.
“Lawatan ini juga dijadikan sebagai batu loncatan untuk mengadakan perbincangan dan sesi kolaborasi bersama pakar perpustakaan kelak,” ujarnya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.
Delegasi perpustakaan SEBARU disertai 120 murid yang terdiri daripada murid Tahun Empat, Lima dan Enam dengan diiringi 12 guru pembimbing.
Lawatan penanda aras itu adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) khususnya bagi SDG 4: Quality Education dan SDG 17: Partnerships for the Goals.
Tambah Cikgu Rosmah, pelbagai aktiviti telah disediakan oleh tuan rumah kepada rombongan dari SEBARU.
Antara yang diadakan adalah aktiviti berkumpulan para peserta bersama fasilitator PTAR seperti mempelajari teknik bacaan pantas; pencarian dan penyusunan buku yang betul; memahami katalog buku; pengenalan sistem Katalog Bahan Perpustakaan (OPAC) dan banyak lagi.
Rombongan turut dibawa melawat seksyen-seksyen dalaman sekitar PTAR seperti makmal Makerlab, akuarium bacaan, ruangan bacaan industri, pengurusan kaunter dan peminjaman buku.
Sementara itu, lawatan bermanfaat tersebut turut dijadikan medan perbincangan bersama wakil PTAR diketuai Timbalan Ketua Pustakawan Kanan yang juga Ketua Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan PTAR UiTM, Arshad Bujang.
Dalam perbincangan tersebut, Program Duta Cilik Perpustakaan (DCP) SEBARU yang akan dimulakan tidak lama lagi akan diberi tumpuan oleh kedua-dua pihak.
Ini kerana DCP bakal mencari duta cilik SEBARU untuk menjadi ikon perpustakaan sekolah.
Mereka yang dilantik sebagai ikon akan membimbing murid dalam urusan perkhidmatan perpustakaan, teknik bedah buku, membaca pantas dan lain-lain.
Akhir sekali, Cikgu Rosmah mengharapkan sesi lawatan berkenaan dapat memanfaatkan kedua-dua pihak terutamanya berkaitan pengurusan perpustakaan.
Artikel berkaitan
‘Parenting Talk’ SEBARU bantu ibu bapa didik dan kendali anak-anak istimewa
8 modul IMPAK membuatkan sekumpulan ibu bapa berjaya bergraduasi
2 pensyarah UiTM cipta kit Simulasi Luka bergred makanan, bantu pelajar fahami jenis luka