Mohd Shahzihan
Mohd Shahzihan

Keputusan lima peperiksaan JAIS meningkat

14 Mar 2024 04:19pm
A
A
A

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Khamis, mengumumkan keputusan penuh bagi lima peperiksaan Tahun 2023 yang diduduki pelajar Tingkatan Empat Sekolah Agama Negeri di Dewan Jamuan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

Lima peperiksaan itu terdiri daripada Sijil Menengah Agama (SMA); Sijil Menengah Agama Tahfiz Al-Quran (SMATQ); Sijil Menengah Agama Tahfiz Al-Quran Kurikulum Bersepadu Tahfiz (SMATQKBT); Sijil Menengah Agama Turath dan Dakwah (SMATD) dan Sijil Kafa Menengah (SKM).

Menurut Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, keputusan peperiksaan SMA menyaksikan peningkatan dua peratus dengan pencapaian 99.6 peratus, berbanding 97.6 peratus tahun sebelumnya.

Manakala SMATQ, SMATQKBT, SMATD dan SKM pula katanya, masing-masing mencapai keputusan 100 peratus lulus.

Maklum Mohd Shahzihan, seramai 1,116 calon telah mendapat pangkat Mumtaz (Cemerlang) berbanding 783 calon bagi peperiksaan SMA sekali gus berlakunya peningkatan sebanyak 13.4 peratus.

“Untuk SMATQ, calon mendapat Mumtaz seramai 82 calon meningkat sebanyak 13.8 peratus berbanding 34.2 peratus (78 calon) pada 2022.

“Peratus calon yang mendapat pangkat Mumtaz dalam SMATQKBT seramai 14 calon atau 20.6 peratus.

“Seterusnya, seorang calon atau 5.3 peratus mendapat Mumtaz peperiksaan SMATD dan 56 calon (26.0 peratus) memperoleh Mumtaz SKM,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Shahzihan berkata, keseluruhan prestasi bagi peperiksaan berkenaan menunjukkan peningkatan yang ketara.

“Hasil perancangan rapi pihak sekolah dan usaha gigih serta kerjasama mantap semua pentadbir, guru, pelajar, ibu bapa, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), masyarakat setempat dan semua pihak, kita berjaya mendapat keputusan begini.

“Tahniah kepada semua calon yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan diduduki,” ujarnya.

Terdahulu, pengumuman oleh Mohd Shahzihan turut dihadiri Timbalan Pengarah (Operasi) JAIS, Salwana Ahmad Dahlan; Timbalan Pengarah (Pengurusan) JAIS, Mohd Faizal Abdul Raji; Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Anas Ayob dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Islam JPNS, Shopuan Anuar Ahmad.

Turut serta, Ketua-ketua Sektor Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Penolong-penolong Pegawai Tadbir Agama Daerah, barisan pengetua-pengetua Sekolah Agama Menengah (SAM/SAMT), Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS), Sekolah Menengah Islam (SMI) Negeri Selangor, guru-guru besar Kelas KAFA Menengah (KKM) dan guru-guru Penyelaras Peperiksaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok