Seramai 403,637 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2022 di 3,355 buah pusat peperiksaan seluruh negara.
Seramai 403,637 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2022 di 3,355 buah pusat peperiksaan seluruh negara.

Keputusan SPM 2022 diumumkan 8 Jun 2023

ROSHLAWATY MD RAIEH
29 May 2023 01:33pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2022 akan diumumkan pada 8 Jun ini.

KPM menerusi kenyataan media pada Isnin berkata, calon SPM 2022 boleh memperoleh keputusan peperiksaan mereka di sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi pada tarikh tersebut.

Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.

“Calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan melalui kaedah secara dalam talian di laman sesawang myresultspm.moe.gov.my mulai pukul 10 pagi pada 8 Jun hingga 6 petang pada 14 Jun 2023.

“Mereka juga boleh membuat semakan keputusan SPM 2022 secara khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPM jarak Nombor Kad Pengenalan jarak Angka Giliran dan hantar ke 15888.

“Sistem ini akan diaktifkan mulai pukul 10 pagi pada 8 Jun hingga pukul 6 petang 14 Jun 2023,” kata kenyataan itu.

Seramai 403,637 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2022 di 3,355 buah pusat peperiksaan seluruh negara.

Manakala seramai 131,318 petugas peperiksaan telah dilantik bagi keseluruhan peperiksaan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

KPM mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada semua calon SPM 2022 yang bakal menerima keputusan pada 8 Jun nanti.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok