ADLY ZAHARI
ADLY ZAHARI

Keyakinan terhadap MTD masih tinggi, terima hampir 4,000 permohonan kemasukan tahun ini

24 Feb 2025 04:04pm

Keyakinan rakyat terhadap Maktab Tentera Diraja (MTD) masih tinggi, dengan melihat kepada jumlah permohonan kemasukan yang terus meningkat tahun ini walaupun pelbagai isu mengenai institusi itu telah dibangkitkan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sebanyak 3,990 permohonan diterima tahun ini berbanding pengambilan hanya 260 orang, meningkat berbanding 2,200 permohonan tahun lepas.

"Tugas kita di MTD dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), teras asas adalah memastikan pelajar-pelajar ini mempunyai disiplin yang tinggi kerana mereka adalah masa depan kepada sistem ketenteraan dan sistem penjawat awam apatah lagi kepimpinan negara," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) sama ada terdapat syarat pemilihan untuk menilai perwatakan pelajar yang memohon menyertai MTD bagi mengelak kejadian buli daripada berulang.

Menjawab soalan asal Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mengenai langkah diambil untuk menghentikan kejadian buli yang membarah secara sistemik di MTD, Adly berkata, ATM telah melakukan penambahbaikan bagi menangani masalah itu.

No Image Caption

Beliau berkata, jurulatih bertugas diarah melaksanakan rondaan berkala dan tidak berkala di blok penginapan selepas 11.30 malam setiap hari, dengan kekerapan setiap dua jam sekali.

Selain itu jumlah kamera litar tertutup (CCTV) juga ditambah daripada 12 kepada 64 unit di kawasan blok penginapan MTD bagi mengawasi dan mengesan aktiviti mencurigakan serta mengadakan sesi pertemuan antara pelajar, pentadbir dan jurulatih bagi mendapat maklumat awal salah laku dalam kalangan pelajar.

Artikel Berkaitan:

"Sesi ini dilaksanakan bagi mengatasi isu keengganan Putera (pelajar) membuat laporan salah laku, kita di kementerian dan ATM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kesalahan disiplin termasuk perbuatan buli. Siasatan akan dilaksanakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu terlibat," katanya.

Adly berkata penambahbaikan lain adalah penguatkuasaan Perintah Tetap Putera (PTP) bagi larangan terhadap aktiviti pelanggaran disiplin dan pengasingan blok penginapan bagi Tingkatan Empat dan Lima mulai 2020, bertujuan mengurangkan risiko perkara tidak diingini berlaku. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp