pickids
pickids

KKM buka PPV Sekolah selewatnya 14 Februari ini

Nor Azma  Muhamat Laila
08 Feb 2022 08:41pm
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan semua negeri memulakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah selewat-lewatnya pada 14 Februari 2022 bagi menjayakan usaha pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada 80 peratus kanak-kanak di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, sebanyak 50 peratus kanak-kanak dijangka diberikan suntikan pertama di sekolah-sekolah yang terpilih pada penghujung bulan ini.

Baca juga 

Murid sekolah tidak perlu diasingkan sekiranya tidak divaksin – PIBGN

Tiada kesan sampingan serius pengambilan vaksin dalam kalangan pelajar sekolah

"Terdapat kira-kira 70 peratus kanak-kanak yang bersekolah membabitkan jumlah sebanyak 2 juta orang dan jika kita dapat melaksanakan PPV Sekolah dengan jayanya, ia akan membantu mempercepatkan pemberian vaksin untuk kanak-kanak.

"Usaha yang memerlukan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi terutamanya Kementerian Pendidikan (KPM) ini dilihat akan membantu negara mencapai sasaran 80 peratus kanak-kanak yang mendapat vaksin," katanya ketika mengadakan sesi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, pada Selasa.

Mengulas mengenai kebimbangan ibu bapa terhadap kesan sampingan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak, Noor Azmi berkata, setakat ini sebanyak 43,000 dos sudah diberikan dan tiada kesan advers susulan imunisasi (AEFI) dilaporkan.

"Semua orang sayangkan anak masing-masing dan saya faham kebimbangan utama ibu bapa ialah kesan sampingan, sejauh mana keberkesanan dan masalah yang bakal dihadapi apabila anak-anak mengambil vaksin.

"Saya ambil contoh myocarditis, risikonya jauh lebih tinggi untuk berlaku apabila anak-anak dijangkiti Covid-19 berbanding ketika mendapatkan suntikan vaksin.

"Jadi yang mana lebih baik, dijangkiti Covid-19 atau ambil vaksin? Sudah tentunya ambil vaksin untuk melindungi anak-anak kita kerana kesan sampingan yang direkodkan adalah sangat rendah malah berdasarkan 8.6 juta dos yang diberikan di Amerika Syarikat, hanya 11 kes mendapat myocarditis," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Dalam pada itu, KKM juga sedang mempertingkatkan lagi penerangan mengenai kepentingan, keselamatan dan perlindungan vaksin kepada ibu bapa menggunakan pelbagai saluran termasuklah televisyen, bahan pendidikan untuk diedarkan dan media sosial.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) dimulakan pada 3 Februari 2022 dan sehingga hari ini, sebanyak 663,400 tempahan sudah dibuat oleh ibu bapa untuk anak masing-masing.

Sejumlah empat juta kanak-kanak berusia bawah 12 tahun di Malaysia layak menerima vaksin itu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok