KP2027: Sekolah bukan lagi tentang markah, tetapi menjadi manusia!

08 Dec 2025 12:10pm

Di satu sudut kelas prasekolah, seorang murid kecil tunduk membetulkan kasut rakannya yang jatuh. Tiada siapa mengarahnya tetapi tindakan spontan itu menunjukkan apa yang ingin disuburkan oleh Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) iaitu nila hidup, bukan nilai dalam buku teks. Di sinilah bermulanya roh baharu pendidikan negara.

Nilai yang hidup dalam setiap persekolahan

Bagi Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, KP2027 bukan sekadar dokumen baharu tetapi satu usaha mengembalikan makna asal sekolah sebagai tempat membina manusia. Dalam kurikulum ini, nilai seperti hormat, empati dan toleransi tidak lagi diajar secara hafalan.

Murid melihatnya melalui amalan harian seperti menyapa guru, sabar beratur di kantin, menjaga kebersihan kelas, sampai ke tindakan kecil seperti berkongsi makanan dengan rakan.

Setiap guru menjadi agen pembentukan karakter, tidak kira mereka mengajar Matematik, Bahasa Melayu atau Sains. Nilai diserap masuk dalam PdP, interaksi dan rutin, menjadikan sekolah ruang yang subur untuk sahsiah tumbuh secara semula jadi.

No Image Caption

Pembentukan Karakter dibudayakan, bukan diuji

Program Pembentukan Karakter yang diperuntukkan 60 minit seminggu di sekolah rendah dan menengah bukanlah mata pelajaran baharu, sebaliknya amalan yang dihidupkan. Murid menjalani aktiviti yang melatih mereka bekerja dalam kumpulan, bertolak ansur, membuat keputusan bersama dan memahami kesan tindakan terhadap orang lain.

Artikel Berkaitan:

Di peringkat prasekolah, nilai ditanam melalui aktiviti rutin: menyusun kasut, mengemas selepas makan, membantu rakan. Tiada peperiksaan, tiada markah hanya pembelajaran yang mendidik emosi dan hati.

Alam dan Manusia: Ilmu membawa murid kembali kepada kehidupan

Komponen Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu pula membawa murid lebih dekat dengan dunia sebenar. Murid tidak lagi melihat ilmu sebagai subjek berasingan. Sebaliknya, mereka menanam pokok cili, mencatat pertumbuhan, melukis cahaya matahari, menyanyi tentang alam dan berbincang dapatan bersama guru serta ibu bapa.

Ini bukan tentang hafalan konten tetapi pembudayaan ilmu yang menggabungkan seni, sains, TVET, muzik dan digital secara serentak. Murid menjadi pemerhati, bukan penghafal; mereka belajar memahami hubungan manusia dan alam sejak kecil lagi.

No Image Caption

Dua guru, satu kelas: Kolaborasi lebih bermakna

Pendekatan pengajaran berpasukan atau co-teaching turut diperluas dalam KP2027. Dua guru masuk ke satu kelas, merancang dan melaksana PdP bersama. Melalui kolaborasi ini, murid mendapat pengalaman pembelajaran yang lebih kreatif, lebih jelas dan lebih menyeluruh.

Di mana ada kekangan guru, sesi tetap boleh diteruskan oleh seorang guru bagi memastikan kesinambungan pembelajaran tidak terganggu. Fokus akhirnya ialah murid, bukan struktur.

Tiga tahap pembelajaran menyantuni perkembangan anak

KP2027 juga memperkenalkan susunan baharu tiga tahap pembelajaran yang lebih rapat dengan perkembangan emosi dan kognitif murid.

Tahun 1 dan 2 memfokuskan minat ke sekolah serta literasi asas. Tahun 3 dan 4 menghubungkan ilmu dengan dunia sebenar, manakala Tahun 5 dan 6 mengukuhkan jati diri, pemikiran analitis dan kefahaman tentang peranan mereka sebagai sebahagian daripada komuniti global.

No Image Caption

Melahirkan insan seimbang, bukan ulat buku

Dalam dunia yang berdepan cuaca ekstrem, perubahan ekonomi, ketagihan digital dan cabaran sosial, murid tidak boleh lagi dilahirkan sebagai ulat buku.

Mereka perlu seimbang, berdaya cipta dan stabil dari segi emosi. KP2027 dibangunkan untuk menghadapi realiti ini, dan semuanya mustahil tanpa guru.

“Sehebat mana pun kurikulum, tanpa guru ia tidak akan bermakna,” tegas Mohd Azam, mengingatkan bahawa pendidikan ialah satu jihad yang menuntut kasih, akal budi dan komitmen.

Dengan KP2027, sekolah bukan lagi sekadar tempat mengutip markah. Ia kembali menjadi tempat membina manusia.

Ringkasan AI

  • KP2027 menggalakkan nilai hidup melalui amalan harian, bukan hafalan teks
  • Setiap guru berperanan sebagai agen pembentukan karakter murid melalui pelbagai subjek
  • Program Pembentukan Karakter melatih murid dalam kerja kumpulan dan empati tanpa ujian
  • Komponen Alam dan Manusia mengintegrasikan ilmu melalui aktiviti praktikal dan berinteraksi dengan alam
  • Pendekatan dua guru dalam satu kelas memperkaya pengalaman pembelajaran murid melalui kerjasama
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp