
Pengetua sekolah maut pacuan empat roda terbabas, langgar tiang lampu
Seorang pengetua di sebuah sekolah menengah maut selepas pacuan empat roda yang dipandunya terbabas dan merempuh tiang elektrik dalam kejadian di Kilometer 18 Jalan Kudat-Kota Kinabalu, Sabah pada petang Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, mangsa Ahmad Mehdunah, 60, ditemukan tidak sedarkan diri sejurus kemalangan itu berlaku.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati, kenderaan yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menghala ke Kudat telah bergerak perlahan sebelum terbabas ke bahagian kanan jalan dan seterusnya masuk ke dalam parit lalu melanggar tiang elektrik.
"Berdasarkan keterangan saksi awam, saksi mendapati mangsa tidak sedarkan diri sejurus selepas kejadian dan tiada kecederaan luaran yang jelas pada mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, mangsa kemudian meninggal dunia sebelum mayatnya di bawa ke Hospital Kudat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Asman Booman @ Borhan di talian 011-33124756," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang pengetua sekolah menengah maut selepas SUV yang dipandunya terbabas dan merempuh tiang elektrik di Kilometer 18 Jalan Kudat-Kota Kinabalu
- Mangsa Ahmad Mehdunah, berusia 60 tahun, ditemukan tidak sedarkan diri selepas kejadian tersebut
- Kenderaan mangsa terbabas ke kanan jalan dan masuk ke dalam parit sebelum melanggar tiang elektrik
- Tiada kecederaan luaran yang jelas pada mangsa ditemui
- Mangsa meninggal sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Kudat untuk siasatan punca sebenar kematian