
Hampir 30,000 murid Tahun Enam di Sarawak terima buku pelajaran percuma mulai Januari
Hampir 30,000 murid Tahun Enam di Sarawak bakal menerima enam buku pelajaran percuma setiap seorang mulai Januari tahun depan bagi memperkukuh penguasaan Matematik, bahasa Inggeris dan Sains.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, inisiatif itu membabitkan modul intensif mengikut topik serta buku latihan dalam format peperiksaan untuk membantu murid membuat persediaan secara lebih tersusun.
Beliau berkata, bahan pembelajaran berkenaan telah diteliti dan mendapat pengesahan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), dengan beberapa penambahbaikan dibuat sebelum pencetakan.
"Setiap murid Tahun Enam akan dibekalkan enam buku percuma. Kandungannya akan kami ubah setiap tahun," katanya ketika berucap merasmikan Program Simposium Kepimpinan Digital 2026.
Annuar berkata, perbelanjaan kerajaan negeri dalam pendidikan perlu diterjemahkan kepada peningkatan pencapaian murid, dengan keberkesanan sesuatu inisiatif diukur berdasarkan hasilnya.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta pemimpin sekolah menggunakan keputusan pentaksiran sebagai asas menilai keberkesanan pengajaran serta mengenal pasti aspek yang memerlukan penambahbaikan.
Annuar berkata, pentaksiran turut membantu ibu bapa memahami tahap penguasaan anak masing-masing, selain membolehkan guru menilai pencapaian murid berbanding sekolah lain bagi menggalakkan persaingan sihat.
Beliau ketika mengulas mengenai transformasi digital pendidikan berkata, penggunaan papan pintar interaktif dan peralatan digital berpotensi meningkatkan minat serta penguasaan murid dalam Sains dan Matematik.
Dalam pada itu, Annuar turut meminta guru besar, khususnya di kawasan luar bandar untuk membantu murid merebut peluang melanjutkan pelajaran ke sekolah antarabangsa Yayasan Sarawak.
Beliau berkata, inisiatif kerajaan negeri itu membuka akses kepada pendidikan dalam kurikulum antarabangsa bagi murid luar bandar yang sebelum ini mungkin tidak berpeluang menikmatinya. - Bernama